TERKINI

Kembali Kepada Cara Hidup Islam, kata Tun Mahathir

Tun Mahathir di Universiti Cardiff – foto facebook Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 21 Jun 2023 – Umat Islam diseru untuk kembali kepada cara hidup Islam yang sebenar untuk membolehkan mereka berjaya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, umat Islam di seluruh dunia hari ini terpisah-pisah antara satu sama lain disebabkan pandangan berbeza-beza terhadap Islam dan juga termasuk perbezaan budaya.

Hal itu demikian membuatkan umat Islam tidak mampu menjadi bangsa yang kuat dan disegani seperti mana sebelum kurun ke-15.

“Kita terpisah bukan sahaja disebabkan interpretasi berbeza tentang ajaran Islam tetapi juga perbezaan dari segi budaya. Orang berpecah bukan kerana warna kulit atau kedudukan geografi tetapi berbeza kerana nilai sistem, kebudayaan dan disebabkan itu mereka tidak mampu menjadi maju kerana mempunyai budaya yang salah.

“Oleh sebab itu penting bagi kita sebagai orang Islam memastikan umat Islam kembali semula kepada kehidupan cara hidup Islam, Ad-din menunjukkan di dalam Al-Quran sudah diberikan panduan cara hidup yang sepatutnya kita lalui.

“Sekiranya kita patuh kepada ajaran Islam dan Al-Quran saya yakin kita mampu berjaya,” kata Mahathir.

Bekas perdana menteri mengeluarkan kenyataan itu dalam satu pertemuan bersama aktivis Islam di dalam pertemuan di Universiti Cardiff, di United Kingdom, baru-baru ini.

Dalam ucapan pembukaan pertemuan itu, Mahathir berkata, umat Islam pernah menjadi bangsa yang hebat suatu masa dahulu namun realiti semasa menunjukkan tiada satu pun negara Islam yang mencapai status negara maju.

Sebaliknya negara umat Islam dikenali sebagai lemah dan menjadi mangsa tekanan dan mundur.

“Kita tidak mampu membantu negara saudara seagama yang tinggal di negara bukan Islam dan ditekan. Malah ada yang menetap di negara Islam sendiri ditekan oleh regim tertentu walaupun mereka seagama.

“Jadi sudah pasti ada sesuatu yang silap, ada yang tidak kena dengan kita, justeru kita perlu fahami dan mencari jalan penyelesaian,” kata Mahathir.

Kerana katanya, umat Islam percaya mereka akan menuju akhirat sesudah kehidupan di dunia, sudah seharusnya mereka memanfaatkan kehidupan di dunia ini.

“Untuk itu kita perlu mencari jalan mengatasi salah faham tentang Islam dan tahu cara macam mana untuk mengambil tindakan pembetulan,” kata Mahathir. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp