KUALA LUMPUR, 19 Mei 2023 – Kementerian Ekonomi sedang mengabungkan semua insentif berkaitan digital dan teknologi ke dalam satu pendekatan tetingkap tunggal untuk pemilik serta syarikat pemula niaga perniagaan teknologi dan digital termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menterinya, Rafizi Ramli berkata kementerian akan berbincang dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam tempoh terdekat untuk merangka dasar tunggal yang tepat memandangkan kebanyakan agensi berkaitan inisiatif itu berada di bawah tiga kementerian ini.
“Terdapat banyak agensi dalam ekosistem ini dan masing-masing berada di pelbagai peringkat proses seperti peringkat pendanaan, inkubasi dan ada yang berada di peringkat pembangunan kapasiti. Agensi-agensi ini berada di bawah kementerian berbeza.
“Jadi, jika anda ialah pemilik syarikat pemula niaga teknologi dan mahu bermula namun mungkin tidak tahu yang lazimnya kerana semua nampak bagus. Anda mungkin tidak menyedari bantuan yang tersedia,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Forum Ekonomi Kebangsaan di sini, pada Khamis.
Beliau berkata pihaknya bersama KKD dan MOSTI akan menghimpunkan semua agensi berkaitan untuk membincangkan serta merancang keseluruhan proses termasuk menentukan tanggungjawab masing-masing dalam usaha menggabungkan semua insentif itu.
“Kita mahu bergerak ke arah pendekatan dasar tunggal, yang bermakna pemilik digital persekitaran, pemilik syarikat pemula niaga teknologi persekitaran sebenarnya hanya perlu menuju ke satu tempat atau satu aplikasi.
“Bagaimana kerajaan menyelesaikannya dengan agensi masing-masing? Itu akan kita urus namun kita perlu berusaha ke arah satu dasar tetingkap tunggal, dan saya berharap dapat bekerjasama dengan KKD, MOSTI dan semua agensi untuk kita mengumumkan penambahbaikan ini,” katanya.
Rafizi berharap dasar itu dapat diumumkan pada Ogos tahun ini.
“Itulah garis masanya kerana pihak saya bertanggungjawab ke atas MyDigital (Corporation), dan MyDigital ditugaskan membangunkan keseluruhan perancangan dan ekosistem digital berdasarkan pelan tindakan grid nasional. Jadi (perbincangan) itu berterusan. Kita telah berbincang dengan beberapa agensi dan itu masih berterusan, dan langkah seterusnya ialah bersetuju secara bersama mengenai langkah ke hadapan untuk kita bentang kepada kerajaan,” katanya. – Bernama