TERKINI

Kenapa menyimpan jika perlu bayar hutang, soal Tun Mahathir

Mahathir Mohamad – foto Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR, 18 Okt 2023 – Malaysia mempunyai jumlah hutang yang banyak pada masa yang sama, simpanannya juga berjumlah RM1 trilion, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri berkata, kebanyakan simpanan negara dilaburkan dalam bon Amerika Syarikat (AS) yang mana adalah sukar untuk menggunakannya dengan mudah.

Menurutnya, ini kerana AS mempunyai reputasi untuk tidak mudah memberikan kembali wang yang dipinjamkan kepada mereka atau didepositkan kepada mereka.

“Mengapa kita meminjamkan wang daripada simpanan kita kepada AS dan mendapat sedikit pulangan daripadanya.

“Mengapakah kita mesti menyimpan begitu banyak wang sebagai rizab dalam USD dan mengapakah kita mesti mempunyai banyak wang sebagai simpanan?,” soalnya dalam satu kenyataan di laman sosial X.

Sedangkan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini banyak mencipta hutang baharu dan membebankan negara.

Mahathir berkata, beban kewangan kerajaan meliputi pembiayaan untuk projek, subsidi dan pemberian percuma.

“Kita mempunyai banyak hutang, banyak dana kerajaan terpaksa digunakan untuk membayar pinjaman.

“Ini mengakibatkan lebih banyak defisit. Hutang adalah beban. Kita perlu membayar beberapa bilion hutang setiap tahun,” katanya.

Mahathir berkata, antara simpanan negara termasuklah rizab Bank Negara Malaysia yang berjumlah lebih daripada USD100 bilion atau RM500 bilion.

Selain itu Malaysia turut mempunyai aset pelaburan berjumlah RM1 trilion dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dan lebih RM300 bilion aset di bawah pengurusan Permodalan Nasional Berhad (PNB), katanya.

Manakala lebih daripada RM80 billion simpanan deposit dengan Tabung Haji dan tabung pencen, KWAP yang mempunyai hampir RM150 billion.

“Kita sebenarnya mempunyai lebih daripada satu trilion Ringgit dalam simpanan.

“Jadi mengapa kita menyimpan wang sedangkan kita boleh membayar hutang kita dan mengurangkan beban kewangan kita,” katanya. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp