TERKINI

Keputusan Speaker : PN akan lantik pakar perlembagaan untuk ambil tindakan – Pengerusi PN

Sidang media PN – foto Kosmo Digital

PUTRAJAYA, 11 Julai 24 – Perikatan Nasional (PN) akan melantik pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Parti Bersatu ekoran keputusan Tan Sri Johari Abdul membuat keputusan menolak permohonan parti itu supaya kerusi enam Ahli Parlimen terbabit dikosongkan.

Dalam satu kenyataan media, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung status enam Ahli Parlimen parti itu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

““Keputusan YB Speaker tersebut adalah amat mengecewakan kerana dengan jelas bercanggah dengan peruntukan tersurat dan tersirat Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Sehubungan itu, Bersatu memutuskan mengambil langkah-langkah susulan dengan melantik pakar-pakar perundangan untuk mengambil tindakan sewajarnya bagi menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Parti Bersatu. Katanya.

Tambah beliau, Perlembagaan Persekutuan menyatakan dengan jelas bahawa kerusi ahli Dewan Rakyat hendaklah menjadi kosong jika dia tidak lagi menjadi anggota parti politik tersebut.

Muhyiddin juga menegaskan bahawa jelas enam Ahli Dewan Rakyat tersebut tidak lagi menjadi ahli Bersatu berikutan dengan peruntukan perlembagaan parti.

“Keputusan YB Speaker adalah bercanggah dengan peruntukan undang-undang dan telah bertindak di luar bidang kuasa beliau dalam membuat tafsiran yang songsang.

“Hanya mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk menafsirkan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Notis pemakluman kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam ahli Parlimen Bersatu telah diserah dan diterima pejabat Speaker Dewan Rakyat, minggu lepas.

Sebelum itu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) telah meluluskan permohonan pindaan perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang membolehkan parti itu mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen yang bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp