KUALA LUMPUR, 8 Sept 2023 – Sistem demokrasi menuntut rakyat untuk memilih pemimpin bagi sesebuah negara namun sistem itu juga menjadikan negara dipimpin oleh individu korup, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri berkata, rakyat kebanyakannya hanya memilih individu yang sebangsa dengan mereka, bahkan terdapat pemimpin korup yang dipilih.
“Pemimpin dilantik oleh rakyat, yang dipercayai adalah mereka akan memilih orang terbaik untuk mentadbir dan diberi kuasa memerintah.
“Kebanyakan yang terjadi rakyat tidak memilih pemimpin terbaik, tetapi individu dari puak mereka, parti mereka, orang yang merasuah mereka
“Perasuah menang dan menubuhkan kerajaan,” katanya, melalui media sosial X miliknya.
Pemimpin korup katanya akan memusnahkan demokrasi, sistem yang diguna pakai selepas runtuhnya monarki di kebanyakan negara dunia berkurun lamanya.
“Bilangan menjadikan mereka berkuasa, tetapi kali ini kerajaan dicabar lagi, dunia diserang bukan daripada makhluk luar, tetapi dari dalam planet.
“Mereka kecil, dalam bentuk virus, yang mana tiada negara dapat menguruskannya, termasuk pertubuhan dunia,” kata Dr Mahathir.