TERKINI

Kerajaan ‘Reformis’ Bawa Negara ke Arah ‘Kuku Besi’

Khairuddin Abu Hassan – Foto ABC

KUALA LUMPUR, 1 Sept 2023 – Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendakwa pentadbiran kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang membawa negara ke arah pentadbiran diktator apabila menyekat hak dan kebebasan rakyat untuk bersuara.

Sedangkan anggota pentadbiran kerajaan pusat terdiri daripada para pejuang reformis, suatu masa dahulu ketika mereka menjadi pembangkang.

“Kerajaan Malaysia pada hari ini sedang membawa kita ke arah pemerintahan ala ‘diktator’ mahupun ‘kuku besi’ kerana mencabul hak rakyat untuk bercakap secara ‘bebas’ walaupun ianya berteraskan fakta-fakta sahih.

“Keseluruhan rakyat Malaysia harus perhatikan amalan ‘intimidasi’ kerajaan Madani yang hanya ‘bercakap tak serupa bikin.’

“Sesungguhnya juga, pemimpin-pemimpin kerajaan pada hari ini terdiri dari ‘reformis sampah jalanan’ yang tidak faham dengan amalan demokrasi secara tulen,” katanya, dalam satu kenyataan hari ini.

Khairuddin berkata, larangan yang kerajaan tetapkan berhubung kenyataan melibatkan kaum, agama, dan raja, atau 3R sebenanrnya tidak sah kerana ia tidak digubal di Dewan Rakyat.

“Apa yang sedang berlaku pada hari ini pihak kerajaan telah salah guna kuasa memperalatkan PDRM untuk ugut serta menakut-nakutkan rakyat.

“Larangan tersebut tidak digubal menjadi undang-undang dan diluluskan di Parlimen,” katanya.

Malah, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah sekalipun memprovokasi isu melibatkan 3R, katanya.

“Semua rakyat Malaysia boleh bercakap mengenai ‘3R’ selagi tidak mempunyai sebarang unsur-unsur menghasut dan provokasi ke atas mana-mana bangsa, agama serta institusi Raja.

“Apa yang Mahathir bercakap adalah penghuraian fakta-fakta tanpa sebarang bentuk unsur-unsur provokasi ke atas ‘3R.’

“Mahathir senantiasa menasihati kami untuk menghormati hak kaum-kaum dan agama-agama lain di tanahair kita,” katanya.

Katanya, perjuangan Proklamasi Orang Melayu katanya adalah untuk menyatupadukan semula bangsa Melayu secara total dan mengkaji permasalahan orang-orang Melayu seterusnya mencari formula untuk selesaikan semua polemik permasalahan anak bangsa kita.

“Namun dalam masa yang sama kami tidak mengizinkan mana-mana pemimpin Proklamasi Orang Melayu menganjurkan sebarang bentuk provokasi yang bercanggah dengan undang-undang mahupun perlembagaan persekutuan,” tambah Khairuddin lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp