TERKINI

Kes Buli : Malaysia perlu wujudkan akta anti buli di sekolah – Pengerusi ASWA

Wan Azliana Wan Adnan – foto Astro Awani

KUALA LUMPUR, 6 Dis 2023 – Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (ASWA), Wan Azliana Wan Adnan berpendapat bahawa Malaysia perlu mewujudkan akta anti buli bagi mendepani peningkatan kes buli melibatkan fizikal, mental dan seksual.

Azliana yang juga seorang pengamal undang-undang berkata, sehingga kini tiada undang-undang khusus terpakai bagi kes buli di sekolah.

Menurut beliau, kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti ASWA, peningkatan mendadak kes buli pada 2023 adalah cerminan atau petanda kecemasan.

“Memang ada kelompongan sangat besar, Malaysia merupakan sebuah negara membangun tapi tidak mempunyai akta anti buli, malah negara jiran seperti di Filipina juga sudah ada.

“Jadi di Malaysia tidak ada definisi khusus tentang definisi buli. Adakah buli patut dilakukan berkali-kali? Apakah perbuatan buli?

“Sekarang apabila pembuli didakwa di mahkamah, hanya ada satu sahaja undang-undang berkaitan iaitu kanun keseksaan, kita perlu satu akta khusus, sama ada dera fizikal atau dera mental,” katanya.

Kata beliau, sejumlah 4,994 kes buli direkodkan dari Januari hingga Oktober 2023.

Justeru, tegas Wan Azliana, kes ini perlu mendapatkan perhatian segera terutamanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas normalisasi buli di sekolah dengan pendekatan lebih serius dan proaktif.

“Kita masih melihat buli sebagai satu masalah disiplin bukan jenayah berat. Kita menyambut baik apabila Menteri Pendidikan ingin menoktahkan tiga ‘dosa besar’ kememnterian iaitu buli, gangguan seksual, dan isu perkauman. Maka, kita mahu kementerian dan pengurusan sekolah mengambil serius isu buli ketika ini,” jelasnya lagi.

Beliau yang juga Ketua Gerakan Penggubalan Akta Anti Buli memberi pandangan itu dalam program AWANI PAGI yang membincangkan topik usaha-usaha menoktahkan buli di sekolah. – Awani

Facebook
Twitter
WhatsApp