TERKINI

Kes Najib : Puad Zakarshi cuma “Meroyan” – Tun M

Mahathir Mohamad – foto Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR, 17 Okt 2023 – Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap Speaker DUN Johor, Datuk Mohd Puad Zarkashi sekadar ‘meroyan’ di luar mahkamah kerana mendakwa beliau memperalatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam kes Datuk Najib (dan anaknya) disaman kerana tidak bayar cukai berjumlah RM1.7 billion.

Dalam satu kenyataan di laman sosial facebook, Mahathir berkata jika Puad Zarkashi mempunyai bukti bahawa LHDN diperalatkan oleh beliau, beliau sepatutnya menawarkan diri sebagai saksi pembelaan.

“Jika Puad Zarkashi ada bukti bahawa LHDN telah diperalat oleh saya, kenapa dia tidak beri bukti itu kepada peguambela Najib dan menawar diri sebagai saksi pembelaan.

“Tetapi ini tidak dilakukan olehnya. Sebaliknya, dia cuma “meroyan” di luar mahkamah dan membiar Najib menghadapi saman dan kalah. Ujar beliau.

Mahathir juga membangkitkan persoalan mengapa peguambela Najib tidak mengemukakan bukti di mahkamah bahawa beliau memperalatkan LHDN.

“Jika LHDN telah diperalat oleh saya kenapa peguambela Najib tidak tunjuk bukti di mahkamah di hadapan hakim-hakim tersebut.

“Apakah Puad Zarkashi menganggap hakim-hakim tersebut tidak tahu menilai bukti-bukti dan saksi-saksi yang di pamer di mahkamah?, soal Mahathir.

Menurut Mahathir lagi, apakah Puad tidak faham proses perundangan. Dalam apa-apa juga kes melibatkan kerajaan, ia perlu mendapat persetujuan pihak Peguam Negara sebelum dibawa ke mahkamah.

Mahathir menjelaskan lagi tentang proses pendakwaan bahawa jika Pejabat Peguam Negara merasa bahawa kes itu tidak mempunyai asas kukuh maka ia tidak akan di bawa ke mahkamah. Maka, apabila ia di bawa ke mahkamah ia bermakna Peguam Negara merasa ada asas yang cukup.

“Keduanya, apabila ia dibawa ke mahkamah, Hakim pula akan membuat penilaian berdasar kepada bukti-bukti yang dipamer dan saksi-saksi yang dipanggil.

“Jika tiada saksi-saksi dan bukti-bukti yang sahih dan kukuh maka Hakim dan Mahkamah akan membuang kes tersebut. Katanya.

Dalam kes Datuk Seri Najib Tun Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin, mahkamah telah memutuskan bahawa Najib dan anaknya perlu melunaskan lebih RM1.7 bilion tunggakan cukai, bagi tahun 2011 hingga 2017 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Keputusan itu diperoleh selepas lima panel Mahkamah Persekutuan pada Isnin, diketuai Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara menolak rayuan bekas Perdana Menteri itu dan Nazifuddin terhadap penghakiman terus diperoleh LHDN untuk mendapatkan nilai cukai itu. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp