TERKINI

Kod Etika Wartawan : Tidak wajar, tidak betul – Prof Ahmad Murad

Ahmad Murad Merican – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 21 Feb 2024 – Ahli akademik, Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican menyifatkan pelancaran Kod Etika Wartawan Malaysia oleh kerajaan semalam, adalah satu tindakan yang tidak wajar dan tidak betul.

Menurut beliau, di mana-mana kerajaan negara di dunia tidak ada ‘locus standi’ dalam memulakan inisiatif, menerbitkan dan mengelolakan mana-mana kod etik untuk profesion kewartawanan.

“Kita mesti memahami semula fungsi dan nilai kod etik kewartawanan.

“Banyak persoalan tidak dijawab, akhir sekali, dalam keadaan sekarang Institut Akhbar Malaysia perlu memainkan peranan sebagai pengelola, daftar dan pelaksana. Ujarnya.

Dalam satu kenyataan di facebook beliau hari ini, Ahmad Murad berkata, bukan tugas Jabatan Penerangan (dalam hal ini mewarisi fungsi pengendalian akhbar zaman penjajahan) dan kementerian berkenaan.

Beliau turut menegaskan bahawa amat tidak wajar juga jika ia melibatkan fungsi Jabatan Penerangan dalam menentukan pengeluaran kad perakuan dan sebagai daftar profesion itu.

“Dalam penulisan saya selama lebih dari 3 dekad mengenai kawal selia kendiri kewartawanan, perlu diwujudkan beberapa mekanisme awal sebelum, ditubuhkan sebuah majlis media.

“Saya dapati nama ‘Majlis Media Malaysia’ disenaraikan dalam ‘Booklet’ sebagai sumber rujukan, telah wujudkan badan itu?, soal beliau.

Ahmad Murad juga menjelaskan bahawa kod etika secara lazimnya adalah integral kepada sebuah mekanisme kawal selia. Walaupun disebut bahawa ‘sumber kuasa’ kod etika itu ialah dari kod oleh Institut Akhbar Malahsia 1989 di mana penggubalan tersebut perlu juga merujuk kepada draft kod dan kertas cadangan Majlis Media Malaysia tahun 2001.

“Dan jika diperkenalkan sekarang, tidak disebut pelaksanaan, mekanisme pelaksana, dan pihak yang melaksana.

“Walaupun disebut bahawa kod etika adalah sebagai panduan, namun wajar ada hukumannya. Apa tindakan jika seseorang wartawan melanggar peruntukan dalam kod itu? Kod yang dilancarkan juga amat loggar.

Tambah beliau, kod sebegitu juga tidak wajar jika ia mirip kepada peruntukan undang-undang.

“Lihat draf kod 2021 yang dikemukakan oleh Institut Akhbar Malaysia untuk memperbaikinya.

“Kod etika semestinya sebahagian daripada Majlis Media yang mana RUU wajar diusulkan sebagai private member’s Bill; bukan oleh Menteri. Kod akan bertaraf satu statut;

Ahmad Murad yang juga Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), menegaskan bahawa sekeping kertas/dokumen yang diistiharkan tetapi tidak perlu dipedulikan oleh ahli profesionnya.

“Dalam tinjauan ringkas saya dua tahu lalu mengenai kesedaran kod etik kepada wartawan di Malaysia, 90 peratus tidak pasti kod apa yang dimaksudkan; ataupun bertanya adakah wujud satu kod mengenai amalan kewartawanan!, katanya.

Baru-baru ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil telah melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia.

Kod Etika Wartawan Malaysia yang juga inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) itu menggarap lapan etika utama. Ia adalah sebagai garis panduan untuk agensi media melaksanakan tugas, sekali gus mengangkat martabat media sebagai sumber berita dan maklumat diyakini oleh rakyat.

Namun demikian, inisiatif tersebut dipersoalkan oleh sebuah NGO Gerakan Media Merdeka (Geramm) yang menegaskan bahawa kod etika kewartawanan boleh dikendalikan oleh industri media sendiri, bukannya agensi yang seperti Jabatan Penerangan yang terletak sepenuhnya di bawah kerajaan. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp