PUTRAJAYA, 16 Okt 2023 – Perdana Menteri menyelar kuasa besar dan negara barat yang membiarkan kekejaman negara haram Israel terhadap Palestin.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia menyaksikan episod getir dan kelam namun rejim Israel itu berterusan melakukan serangan.
“(Serangan) itu diteruskan dan disahkan atau dibiarkan oleh kuasa besar pelopor demokrasi, kebebasan, liberalisme barat dan Amerika Syarikat. Itu sangat membingungkan,” katanya menerusi ucapan Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini pada Isnin.
Menurutnya, sepanjang penglibatan di dalam politik beliau tidak pernah terfikir akan muncul gelagat kelompok manusia yang sekejam itu.
“Ini sangat mengesankan dan menyentuh hati nurani saya,” katanya.
Beliau berkata, selepas pembentangan Belanjawan 2024 Jumaat lalu, pemimpin negara bersama Menteri Luar Negeri Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah menghubungi rakan sejawat di dunia Islam dan serantau bagi membantu meredakan tekanan penduduk Palestin khususnya di Gaza.
“Saya akan berikan perkembangan mutakhir di Parlimen. Saya akan ulas kemudian,” katanya.
Pada 7 Oktober lalu, Hamas melakukan serangan mengejut terhadap Israel, serangan mengejut pelbagai serampang termasuk serangan roket bertubi-tubi dan penyusupan ke Israel melalui darat, laut dan udara pada hari sambutan perayaan Yahudi.
Ia mengorbankan 1,400 orang.
Hamas berkata, operasi itu sebagai tindakan balas terhadap pencerobohan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur dan keganasan peneroka haram Yahudi yang semakin meningkat terhadap rakyat Palestin.
Rejim Israel kemudian melancarkan Operasi Pedang Besi terhadap sasaran Hamas di Semenanjung Gaza.
Tindak balas Israel diperluas kepada pemotongan bekalan air dan elektrik ke Gaza, memburukkan lagi keadaan hidup di kawasan yang bergolak kerana sekatan ketat Israel sejak 2007.
Seminggu selepas serangan balas Israel, Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan angka kematian di wilayah itu meningkat kepada 2,600 orang. – Sinar Harian