TERKINI

Kontroversi Bendera China Teluk Intan : Profesor ingatkan semua pihak menjaga adab

Ahmad Murad Merican – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 29 Okt 24 – Profesor sejarah sosial dan intelektual, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Murad Merican mengingatkan semua pihak agar menjaga adab dan mematuhi institusi negara sebagai manifestasi menjadi warganegara yang baik dan bersopan.

Dalam satu status yang dimuat naik di laman media sosial facebook, Murad merujuk kepada insiden perarakan yang mengibar bendera China di Teluk Intan, baru-baru ini.

Dalam komen tersebut, Murad berpendapat bahawa pada umumnya tidak ada masalah mengibar bendera negara lain namun persoalannya mengapa bendera China menjadi isu.

“Mengapa bendera China menjadi masalah? Ini adalah kerana ia membangkitkan persoalan adab kenegaraan dan kewarganegaraan.

“Niat disebalik tindak tersebut oleh ‘warganegara China’ dan ketiadaan warga negara Malaysia yang bersama keraian itu yang mengibar bendera Malaysia! Ujarnya.

Menurutnya, pengucapan kebencian bukan hanya dalam bentuk lisan atau tulisan. Ia juga melibatkan simbol, tanda, isyarat, video, audio, filem, poster, fesyen dan bendera.

“Ia mempamerkan subteks. Jika fesyen, ini bukan menumpukan kepada pakaian, tetapi mesej yang disampaikan kepada khalayak awam. Jika lukisan, bukan kepada lakaran tetapi kepada mesej yang hendak disampaikan.

“Sama juga dengan isu bendera China di Malaysia yang dianjurkan oleh masyarakat China; bukan masyarakat bukan China. Wajar pihak berkuasa, yakni kerajaan, mengambil berat tentang adab kenegaraan dan kewarganegaraan di negara ini; dan adab warganegara yang mengibarkan bendera China.

“Ajarkanlah mereka ini supaya menjadi warganegara yang baik, bersopan dan patuh kepada institusi-institusi negara.

Terdahulu, tular rakaman video sekumpulan individu mengibarkan bendera China semasa sambutan festival kebudayaan Guan Gong di Menara Condong, Teluk Intan.

Susulan kejadian tersebut, kira-kira 300 individu berkumpul sambil mengibarkan bendera Jalur Gemilang di lokasi sama pada Sabtu.

Sebelum ini, pelbagai kontroversi timbul berkaitan isu perpaduan nasional bermula daripada penolakan institusi pendidikan Cina terhadap saranan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menyelaraskan silibus Bahasa Melayu di sekolah rendah vernakular, dan selepas ini kontoversi berkaitan lawatan tentera China ke sekolah di Pulau Pinang, kini muncul pula insiden mengibar bendera negara China di Perak. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp