TERKINI

Kos Murah Jadikan Malaysia Tumpuan Pelajar Luar Negara Sambung Pengajian, kata Tun M

Mahathir Mohamad (tengah kiri), Siti Hasmah (tengah kanan), majlis sambutan ulangtahun ke-50 Universiti Tsukuba – foto facebook TDM

KUALA LUMPUR, 2 Okt 2023 – Tun Dr Mahathir Mohamad percaya Malaysia menjadi pilihan pelajar luar negara untuk menyambung pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi berikutan kos yang lebih rendah berbanding negara lain.

Bekas perdana menteri berkata, disebabkan itu juga, negara menjadi destinasi pilihan institusi pengajian tinggi luar negara membuka cawangan mereka di dalam negara ini.

“Setakat ini terdapat cawangan universiti-universiti dari United Kingdom (UK), Australia, India, dan China. Mereka berjalan dengan baik. Pelajarnya pula terdiri daripada Afrika, Asia Tengah, dan negara-negara Asia Tenggara (Asean).

“Malaysia menjadi destinasi pilihan popular untuk pendidikan tinggi kerana kos di Malaysia adalah rendah,” kata Mahathir, ketika berucap di majlis sambutan ulangtahun ke-50 Universiti Tsukuba, semalam.

Malah Mahathir juga percaya, pembukaan cawangan universiti awam Jepun itu di Malaysia akan berjalan lancar dan meningkatkan hubungan baik antara Malaysia dan Jepun, sejak beliau memulakan dasar pandang ke timur, pada 1961.

Universiti Tsukuba diasaskan pada 1872 merupakan satu daripada 86 universiti awam dalam senarai 10 universiti terbaik di Jepun.

Kampus cawangan Universiti Tsukuba itu akan dibangunkan di Universiti Malaya dan di jangka beroperasi bermula tahun hadapan.

Walaupun sudah berusia 151 tahun, institusi pengajian itu hanya diiktiraf sebagai universiti sejak 50 tahun lalu.

“Sejak dasar pandang ke timur diperkenalkan, Malaysia sudah menghantar 26,000 pelajar ke Jepun.

“Jika universiti Jepun dibuka di Malaysia lebih banyak pelajar daripada banyak negara dapat belajar dengan sistem pendidikan dan budaya kerja orang Jepun,” kata Mahathir lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp