TERKINI

Krisis Perbankan Mungkin Jejaskan Harga Minyak Sawit Mentah – Maybank IB

foto sabahkini2

KUALA LUMPUR, 28 Mac 2023 – Walaupun dunia tidak mengalami krisis kewangan global pada masa ini namun, pengajaran lepas menunjukkan krisis perbankan yang menyeluruh mungkin membawa kepada kekurangan dolar AS di peringkat global sekali gus mengekang perdagangan global serta menjejaskan harga komoditi termasuk minyak sawit mentah (MSM).

Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjelaskan ini kerana dolar AS adalah mata wang dominan dalam pasaran pertukaran asing global, dengan hampir 90 peratus bahagian pasaran.

“Memandangkan dominasi dolar AS dalam perdagangan global, kekurangan mata wang ini mungkin menjejaskan import dan eksport seperti dialami ketika krisis kewangan global 2007-2008, apabila bank bukan Amerika Syarikat (AS) tiba-tiba mengalami kekurangan setelah firma kewangan AS tidak mahu meminjamkan dolar AS kepada kaunter mata wang asing mereka.

“Walaupun krisis perbankan kini mungkin berbeza daripada krisis kewangan global era dahulu namun, kekurangan global dolar AS masih boleh mengakibatkan gangguan perdagangan yang tidak diingini (walaupun lebih banyak negara mempelbagaikan selain daripada perdagangan dalam denominasi dolar AS sejak beberapa tahun kebelakangan ini), penambahan inventori dan tekanan harga komoditi global,” tambahnya dalam nota penyelidikan pada Isnin.

Menurut bank pelaburan itu pada 2008, harga niaga hadapan MSM merosot 68 peratus kepada RM1,390 satu tan pada Oktober daripada RM4,330 satu pada Mac tahun yang sama disebabkan krisis kewangan global.

Maybank IB mengingatkan bahawa walaupun MSM menyumbang kira-kira satu pertiga kepada pengeluaran minyak dan lemak global pada 2022, bahagiannya dalam eksport global jauh lebih tinggi iaitu pada 54 peratus.

“Ini menjadikan MSM lebih terdedah kepada kekurangan dolar AS berbanding minyak makan lain. Malah, sebelum krisis perbankan ini, beberapa negara pengimport sudah kekurangan dolar AS seperti Sri Lanka, Pakistan, Bangladesh dan beberapa negara Afrika.

“Kami kekal neutral dalam sektor ini dengan andaian bahawa bank-bank pusat akan belajar daripada masa lalu dengan mengambil langkah awal bagi mengelakkan krisis kewangan global yang lain,” tambahnya.

Bank pelaburan itu menekankan jika bank-bank pusat di barat gagal menangani krisis perbankan ini, seluruh dunia mungkin turut terjejas secara tidak langsung. – BERNAMA

Facebook
Twitter
WhatsApp