TERKINI

Kukuhkan kedudukan Islam, kerajaan disaran pinda Perlembagaan Persekutuan – PN

Saifuddin Abdullah – foto Kosmo Digital

KUANTAN, 10 Feb 2024 – Kerajaan disaran meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan bidang kuasa Mahkamah Syariah di setiap negeri terpelihara.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, ia perlu dipinda dengan mengambil kira beberapa aspek bagi mengukuhkan kedudukan Islam di negara ini.

”Tentulah pindaan ini harus mengambil kira beberapa perkara, contohnya definisi tentang jenayah civil dan jenayah syariah selain bidang kuasa negeri, ini merujuk kepada senarai Federal dan senarai negeri dalam Perlembagaan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi mengulas tindakan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan sebanyak 16 Seksyen di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Menurut Saifuddin, pindaan itu dapat dilakukan jika Parlimen mampu menggubal undang-undang sedia ada dengan menerapkan elemen keterangan berasaskan Al-Quran.

Tambah beliau, undang-undang Syariah harus dilihat daripada sudut sistem pentadbiran selain bersandarkan konsep Maqasid Syariah yang menekankan prinsip memelihara agama, akal, nyawa, keturunan, dan harta.

”Yang ketiga sejauh mana kita boleh mencatatkan nas dan dalil daripada syariah Islam ke dalam dokumen undang-undang sedia ada seperti Perlembagaan,” katanya. – MalaysiaGazette

Facebook
Twitter
WhatsApp