TERKINI

Lagi Pemimpin Tampil Persoal Kos Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani

Azman Hashim – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 28 April 2023 – Seorang lagi pemimpin tampil mempersoalkan kos yang digunakan bagi program Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani.

Bercakap dalam satu kenyataan hari ini, bekas Ahli Majlis Eksekutif Pejuang, Azman Hashim berkata rakyat perlu tahu berapakah kos bagi penganjuran program hari raya ini untuk enam buah negeri.

“Berapa pula kos penganjuran rumah terbuka ini, jika kerajaan menganjurkan menggunakan duit kerajaan, rakyat perlu  tahu berapa yang dibelanjakan? Soalnya.

Azman juga mempersoalkan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sering melanggar setiap kata dan janjinya yang dibuat sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.

“Anwar Ibrahim ini sekali lagi membuktikan bahawa beliau seorang yang suka melanggar setiap kata dan janji yang dilafazkan sebelum menjadi PM, daripada isu rasuah, janji turun harga minyak sampailah ke pembaziran (rumah terbuka) ini.

“Tiadakah orang di sekeliling beliau yang boleh menyedarkan dan memberi nasihat, bahawa apa yang sedang beliau lakukan ialah berterusan memperlekehkan kewarasan minda setiap rakyat Malaysia. Katanya.

Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri akan bermula di Kedah esok 29 April bertempat di Hotel Raia Alor Setar dari 10 pagi hingga 2 petang. Tuanku Sultan Kedah dilaporkan akan turut serta dalam program ini.

Program ini akan diteruskan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 6 Mei bermula 11 pagi hingga 2 petang dan Wisma Majlis Bandaraya Seremban esoknya dari 10.30 pagi hingga 3 petang.

Penganjuran di Kelantan bakal diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu pada 12 Mei manakala acara di Terengganu berlangsung di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Kuala Terengganu pada 13 Mei. Rumah terbuka di kedua-dua negeri berkenaan akan diadakan dari 7 malam hingga 10.30 malam.

Kemuncak sambutan rumah terbuka itu akan berlangsung di Kawasan Komersial Fasa 3, Taman Sri Gombak di Batu Caves, Selangor pada 14 Mei dari 8 malam hingga 11 malam.

Acara ini mendapat kritikan ramai dikalangan politik pembangkang yang menganggapnya bermotif politik dan membazir. Salah seorang yang lantang mengkritik ialah Hassan Karim, Ahli Parlimen PKR yang mencadangkan agar acara ini menggunakan dana parti, bukan dana kerajaan. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp