TERKINI

Langkah SG4 Agenda Tersembunyi Tun M, Dakwa Salleh

State-Government 4 – foto Pejabat TDM

KUALA LUMPUR, 16 Sept 2023 – Pelantikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat kepada kerjasama empat negeri Perikatan Nasional (PN) yang dikenali sebagai “State-Government 4” atau SG4 adalah tindakan awal daripada percaturan politik negarawan itu.

Justeru, bekas ketua menteri Sabah Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak mengingatkan kerajaan perpaduan diketuai Pakatan Harapan (PH) perlu berhati-hati dengan setiap tindak tanduk Dr Mahathir yang menurutnya bakal menggunakan segala kesempatan yang ada.

“Tun Mahathir tidak dikenali sebagai individu yang membuat gerakan tanpa sebarang matlamat akhir. Beliau dikenali sebagai orang yang akan bertindak apabila adanya peluang dan menggunakan kesempatan yang ada bagi membolehkan dirinya mempunyai kelebihan politik.

“Sama seperti pelantikannya sebagai pemimpin de facto PN, saya yakin ini adalah gerakan awal daripada banyak lagi langkah yang akan beliau lakukan,” kata Salleh, dalam laman media sosial Facebook miliknya.

Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata empat menteri besar negeri ditadbir PN iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan membincangkan pelan tindakan bagi kumpulan SG4 dengan Dr Mahathir sebagai penasihat tidak rasmi yang menghubungkan SG4 bersama pelabur luar seperti Jepun dan Korea.

“Tun Mahathir tidak ada masa dan kesabaran menunggu PRU16, oleh itu beliau merangka gerakan secara tersusun dan mengambil peluang yang ada sepantas kilat.

“PH perlu berfikir jauh ke hadapan daripada Tun Mahathir jika mahu mengelakkan krisis politik yang berpotensi datang daripada pemimpin de facto baharu PN, itu,” kata Salleh. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp