TERKINI

Langkawi kembali meriah, lebih 10,000 pelancong datang sempena cuti Deepavali

Pantai Chenang – foto 1Media.my

ALOR SETAR, 13 Nov 2023 – Pulau Langkawi yang dikatakan bakal menjadi pekan hantu kembali meriah dengan kedatangan lebih 10,000 orang pelancong sempena cuti perayaan Deepavali pada Ahad.

Penolong Pengurus Operasi, Konsortium Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line), Leftenan Komander (B) Norhafiz Abd Wahid berkata, daripada jumlah itu, seramai 6,252 pelancong masuk menerusi perkhidmatan feri penumpang, 675 menggunakan feri/penumpang kenderaan (RoRo) dan seramai 3,500 tiba melalui penerbangan.

Menurutnya, daripada jumlah itu seramai 2,406 penumpang masuk menerusi enam trip feri dari Kuala Kedah dengan pelepasan pertama jam 8.30 pagi pada Ahad.

“Pada masa sama, sejumlah 3,846 penumpang lagi masuk ke pulau ini menerusi tujuh trip perjalanan feri dari Kuala Perlis yang bermula seawal jam 8 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Mengulas berkaitan isu kedatangan pelancong ke Langkawi yang dikatakan merosot kebelakangan ini, Norhafiz berkata, ia perkara biasa ketika bukan musim cuti.

Pelancong bersiar-siar bersama keluarga dan rakan-rakan di Pantai Chenang.

“Apabila tiba musim cuti perayaan atau cuti sekolah, permintaan dan kedatangan pelancong akan naik mendadak semula.

“Kami di Ferry Line pada hari biasa menyediakan lima trip dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah. Tetapi apabila permintaan semakin naik, kami akan tambah trip,” katanya.

Norhafiz berkata, bermula Jumaat sehingga Isnin, mereka telah mengambil inisiatif menambah jumlah trip untuk kemudahan pelancong.

“Hari Selasa pun kami cadang nak tambah sikit trip untuk yang tak sempat keluar dari pulau pada hari sebelumnya,” katanya.

Pada Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan kehadiran pelancong ke Langkawi semakin merosot dan membimbangkan penggiat pelancongan di pulau peranginan tersebut.

Industri perhotelan, kereta sewa dan kedai makan di Langkawi dibimbangi semakin tenat susulan kehadiran pelancong yang semakin merosot kebelakangan ini. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp