KUANTAN, 10 Mei 2023 – Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah menyediakan laporan lengkap berkaitan dakwaan 125 laporan salah laku anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang belum diambil tindakan seperti yang didedahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, pihaknya akan meneliti laporan yang dikatakan belum dimaklumkan kepada SPRM berkaitan tindakan yang perlu diambil kepada pegawai dan anggota yang terlibat dengan pelanggaran tatatertib.
Tambah Acryl Sani, PDRM tidak pernah berkompromi atau mengambil mudah tentang perkara itu sebaliknya sentiasa menjalinkan kerjasama erat dengan setiap agensi bagi memastikan integriti dalam PDRM sentiasa ditegakkan.
“Mungkin ada dalam proses, mungkin ada yang lambat dihantar. Tetapi tidak ada laporan yang kita ambil orang kita itu kita ketepikan dan kita tidak susuli dengan tindakan kerana kita memang serius apa juga pelanggaran tatatertib mana-mana pegawai dalam ucapan saya tadi kita sentiasa berpegang teguh kepada integriti dalam setiap apa juga yang kita lakukan,” katanya.
Acryl Sani berkata, pihaknya akan sentiasa memberi kerjasama bukan sahaja kepada SPRM tetapi juga kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) untuk memaklumkan tindakan-tindakan tatatertib yang diambil.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini mendedahkan terdapat 553 laporan salah laku termasuk 125 laporan membabitkan anggota polis tidak diendahkan oleh agensi berkaitan walaupun syor agar tindakan diambil telah dibuat SPRM. – Awani