PETALING JAYA, 17 Julai 2023 – Ahli Jawatankuasa Penerangan BERSATU Pusat, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che’gu Bard membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi dengan dakwaan menyalahgunakan kedudukan mereka berhubung isu pemilikan harta.
Che’gu Bard berkata, Anwar dan Ahmad Farhan telah menggunakan kedudukan mereka untuk menekan polis mengambil tindakan terhadap dirinya akibat pendedahan dibuat berkaitan kemungkinan salah laku dan salah guna kuasa kepemmpinan kerajaan sekarang.
“Laporan dan pertanyaan saya adalah berniat murni supaya PM-10 (Anwar) dipegang kepada slogannya untuk banteras rasuah.
“Maka adalah perlu supaya pihak berkuasa menyiasat perkara sebenar di sebalik pemilikan rumah tersebut yang kononnya adalah pajakan panjang antara PM-10 dan pemilik Cina tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau lagi, pajakan panjang lazimnya dibuat pada premis atau hartanah perniagaan dan bukan rumah kediaman.
“Ini adalah untuk memastikan bahawa perisytiharan harta yang dibuat oleh PM-10 dan kepimpinan kerajaan sekarang telus dan benar dan bukan satu usaha untuk menyembunyikan harta secara proksi untuk mengelakkan rakyat mengetahui kekayaan mereka yang sebenar.
“Saya juga percaya bahawa perbuatan PM10 dan Ahmad Farhan menggunakan polis dan membuat laporan palsu untuk menakut-nakutkan dan mendiamkan mulut saya bercanggah dengan undang-undang, kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan,” dakwanya.
Che’gu Bard turut mempersoalkan bagaimana Yayasan Aman Berhad yang ditubuhkan boleh menerima derma kereta mewah.
Sebelumnya, Ahmad Farhan membuat laporan polis terhadap Che’gu Bard, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Raggie Jessy Rithaudeen.
Katanya, ini susulan ketiga-tiga individu berkenaan telah mengeluarkan dan menyebar beberapa kenyataan palsu dan bersifat memfitnah terhadap Anwar. – malayadaily.com