TERKINI

Laporan polis terhadap Tun M, kenapa AMK tak lapor Polis kenyataan pemimpin DAP? – Khairuddin

Khairuddin Abu Hassan – foto ABC

KUALA LUMPUR, 19 Jan 2024 – Sesiapa sahaja dari mana-mana parti politik yang baharu menjadi kerajaan, boleh membuat laporan polis ke atas Tun Dr. Mahathir Mohamad sekiranya berbaur rasis.

Ini termasuk laporan terbaharu yang dibuat Angkatan Muda PKR bersama beberapa pemimpin bukan Melayu, kata Pengerusi Mobilisasi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Namun, katanya, perbuatan itu menyerlahkan lagi ketidakcerdikan sayap parti PKR itu yang nampak jelas cuba menegakkan benang yang basah.

Beliau juga mempersoalkan kenapa Angkatan Muda PKR tidak membuat laporan polis ke atas dua pemimpin DAP, Ngeh Koo Ham dan Nga Kor Ming berhubung kenyataan menghina Islam yang bercanggah sama sekali dengan undang-undang serta Perlembagaan Negara?

“Apakah tidak betul sekiranya Tun Dr. Mahathir menyatakan kaum asing yang lahir di bumi Malaysia masih mahu dikenali dengan negara asal mereka?

“Malah, sudah berpuluh tahun tinggal di Malaysia, masih ramai dari mereka tidak boleh berbahasa Melayu.

“Kalau tinggal di Indonesia, golongan pendatang seperti ini wajib menggunakan nama, bertutur, mengamalkan adat resam dan budaya negara itu,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Begitu juga, katanya, dengan kaum pendatang di Thailand, mereka perlu mengamalkan bahasa, budaya serta adat resam negara Siam itu.

Tetapi, di Malaysia kaum asing boleh menggunakan nama seperti negara asal mereka dan mendirikan banyak sekolah vernakular.

“Dalam bidang pendidikan pun masih mahu mempertahankan bahasa ibunda berteraskan negara asal mereka.

“Begitu juga baca akhbar, tonton televisyen, bertutur, berpolitik dan pelbagai lagi semua berteraskan kepada negara asal mereka.

“Jadi, di manakah salahnya kenyataan Tun Dr Mahathir mengenai kaum asing yang masih mahu dikenali dengan negara asal mereka?,” soal beliau.

Jelas Khairuddin lagi, pada tahun 1998 ketika Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri kali pertama, setiap hujung minggu ada tunjuk perasaan reformasi dan mereka boleh bercakap apa saja untuk mengkritik kerajaan serta melakukan keganasan jalanan.

“Angkatan Muda PKR yang terdiri dari kalangan budak hingusan tolong jangan lupa sejarah. Cermin muka kamu dahulu sebelum hendak menempelak orang lain,” katanya. – MalayaDaily

Facebook
Twitter
WhatsApp