TERKINI

Latar Belakang & Kronologi Kes Saman Tun Mahathir Mohamad Ke Atas Anwar Ibrahim

Foto malayadaily.com

Berikut adalah latar belakang kes berdasarkan kronologi yang dinyatakan dalam Dokumen Tuntutan Saman Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas Anwar Ibrahim.

  1. Pada 18.3.2023, Defendan (Anwar Ibrahim) telah menyertai dan/atau mengetuai dan/atau memberikan ucapan di sebuah program yang bernama Kongres Nasional Khas Malaysia Madani: “Perlaksanaan Sebuah Idealisme” di Stadium Melawati, Shah Alam (selepas ini dirujuk sebagai “Program tersebut”).
  2. Keseluruhan Program tersebut juga telah dipaparkan secara siaran langsung antara lainnya melalui sidang ‘Facebook liveakaun Facebook milik Defendan sendiri yang menggunakan nama ‘Anwar Ibrahim’ (yang mempunyai pautan link rasmi di https://www.facebook.com/anwaribrahimofficial) dan di Saluran Youtube: Parti Keadilan Rakyat’ (pautan link rasmi di https://www.youtube.com/live/u8iUKM8rYtQ?feature=share) yang mana ia melibatkan beberapa kenyataan daripada pihak Defendan yang berbaur fitnah dan/atau tohmahan yang berniat jahat (selepas ini dirujuk sebagai “kenyataan-kenyataan Defendan tersebut”) bertujuan untuk menjatuhkan dan/atau merosakkan reputasi/imej Plaintif.
  3. Dalam ucapan Defendan selama 31 minit 10 saat, pada minit ke 17:44 sehingga minit ke 20:13 ucapan tersebut, Defendan telah membuat kenyataan-kenyataan berikut:

Bagi saya, ini bukan Agenda Melayu, Agenda rakyat yang majoritinya Melayu. Bukannya agenda keluarga dan Kroni. Ada orang sekarang, setelah 22 tahun, campur 22 bulan jadi kuasa, sekarang mengeluh Melayu hilang segala-galanya. Hilang harta, hilang saham, hilang mana tidak hilang?

Kalau kamu bolot untuk keluarga kamu dan anak-anak kamu? Sekarang bila hilang kuasa, bicara soal rakyat! Jangan perbodohkan rakyat! Rakyat harus bangkit mempertahankan hak mereka!

Kumpulkan Tun-Tun, Tan Sri-Tan Sri, tauke-tauke besar. Ini beberapa kerat orang sekarang merencana untuk menggugat, menggunakan sentimen kaum, mengajak orang-orang Melayu benci kepada kaumkaum yang lain. Menyatakan bahawa kuasa hilang.

Jadi saudara-saudara, harus waspada, Patriotisme, racism, religious bigotry combined are the last refuge of the scoundrel. Bila hilang kuasa, bila dicabar, bila takut dengan serangan SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Kamu kaya berbillion-billion, cukai tak mahu bayar, bawa lari ke luar negara. Dan minta saya jadi Perdana Menteri, apa? Saya mahu jadi bengong biarkan ini dan kutip cukai kepada rakyat?
Saya akan kutip cukai daripada rakyat, tapi saya takkan lepaskan tauketauke yang maha kaya daripada membayar cukai.”

  • Plaintif juga menyatakan dan/atau mendapati bahawa klip-klip video dan/atau laporan-laporan media mengenai kenyataan-kenyataan Defendan tersebut secara keseluruhan dan/atau berasingan telah ditonton dan/atau disebar luas ke pelbagai rangkaian media massa serta media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, Tiktok dan Youtube.
  • Plaintif menyatakan bahawa kenyataan-kenyataan Defendan tersebut adalah tidak lain dan tidak bukan secara jelasnya ditujukan kepada Plaintif. Ini adalah jelas melalui kenyataan Defendan yang menyatakan “Ada orang sekarang, 22 tahun, campur 22 bulan jadi kuasa…”.
  • Ini kerana Plaintif adalah satu-satunya individu di Malaysia, malah di dunia yang memimpin tampuk kepimpinan Malaysia sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun serta 22 bulan tersebut. Plaintif juga akan memohon supaya Mahkamah Yang Mulia ini mengambil pengiktirafan penghakiman (‘judicial notice’) bahawa Plaintif menjadi Perdana Menteri Malaysia
    Keempat mulai 1981 ke 2003 (22 tahun) dan Perdana Menteri Ketujuh mulai Mei 2018 hingga Februari 2020 (22 bulan).
  • Plaintif menyatakan bahawa kesemua kenyataan ini samada secara bersesama dan/atau berasingan adalah tidak benar serta bertujuan dan/atau telah dan/atau akan sentiasa menimbulkan pelbagai persepsi yang buruk terhadap Plaintif. Ia juga telah mencalarkan imej Plaintif sebagai seorang Negarawan yang juga merupakan mantan Perdana Menteri (sebanyak dua kali) yang mempunyai reputasi sebagai seorang ahli politik dan pemimpin yang disegani di seluruh Malaysia dan dunia.
  • Oleh itu, Plaintif telah menghantar sebuah Notis Tuntutan bertarikh 27.3.2023 (selepas ini dirujuk sebagai “Notis Tuntutan tersebut”) kepada Defendan yang disahkan penerimaan pada 28.3.2023 oleh pihak Defendan.
  • Di dalam Notis Tuntutan tersebut, Plaintif telah menuntut kepada Defendan antara lainnya seperti berikut:

a) Bahawa Defendan hendaklah, dengan SERTA MERTA, menarik balik kesemua dan setiap satu Kenyataan-Kenyataan Defendan tersebut;

b) Bahawa Defendan hendaklah menyebabkan kesemua perkongsian kenyataan-kenyataan Defendan tersebut di semua platform media sosial dan/atau media elektronik cetak yang telah tertular tersebut dipadam dengan SERTA-MERTA, yang mana telah dikongsi oleh pengguna-pengguna lain di atas kesalahan Defendan sendiri;

c) Bahawa Defendan hendaklah membuat permohonan maaf secara bertulis kepada Plaintif tanpa syarat dan secara terbuka termasuk dengan akujanji yang Defendan tidak akan sama sekali membuat apa-apa kenyataan dan/atau kenyataan lanjut yang menyentuh berkenaan
reputasi dan integriti Plaintif, dan permohonan maaf dan akujanji tersebut hendaklah tertakluk kepada kepuasan dan/atau dipersetujui oleh Plaintif, dalam tempoh TUJUH (7) HARI daripada tarikh Notis ini; DAN

d) Bahawa Defendan hendaklah mengadakan satu (1) sidang media khas sempena permohonan maaf dan akujanji kepada Plaintif tersebut dan menyatakan serta memberi akujanji sepertimana yang dinyatakan di Perenggan (c) di atas dalam tempoh TUJUH (7) HARI daripada tarikh
Notis Tuntutan tersebut.

  1. Namun, sehingga tarikh pemfailan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan ini, tiada satu pun daripada Tuntutan Plaintif tersebut dipenuhi oleh Defendan.
  2. Malahan, pada 3.4.2023, pihak Defendan melalui peguamcaranya, Tetuan Thomas Philip telah menghantar surat kepada peguamcara Plaintif untuk memohon tempoh lanjutan selama dua (2) minggu untuk menjawab Notis Tuntutan tersebut yang mana ia telah dipersetujui dan/atau dibenarkan oleh Plaintif.
  3. Namun begitu, pada 17.4.2023, peguamcara Defendan telah menghantar surat yang menyatakan bahawa pihak Defendan bersedia untuk menjawab segala dakwaan Plaintif tersebut di Mahkamah dan bahawa mereka telah mendapat arahan untuk menerima sebarang serahan kertas kausa.
  4. Oleh itu, pihak Plaintif telah bertindak untuk memfailkan Writ Saman serta Pernyataan Tuntutan ini terhadap Defendan untuk menuntut segala gantirugi dan/atau penarikan semula dan/atau permohonan maaf daripada Defendan terhadap kenyataan-kenyataan Defendan tersebut. – malayadaily.com
Facebook
Twitter
WhatsApp