TERKINI

Mahathir persoal hasrat jual kepentingan MAHB kepada BlackRock

Mahathir Mohamad – foto Pejabat TDM

PUTRAJAYA, 20 Jun 24 – Mantan perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoalkan hasrat untuk menjual tiga puluh peratus kepentingan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sedangkan syarikat itu sudah mendapat untung.

Dalam satu entri pendek di laman sosial ‘X’, Mahathir berkata beliau tidak memahami mengapa keputusan itu dibuat.

“Apabila saya dengar syarikat Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan menjual sahamnya kepada syarikat Amerika, sangkaan saya ialah MAHB rugi.

“Sekarang saya dapat tahu bahawa MAHB untung sebanyak RM543 juta bagi tahun 2023.

“Tak banyak syarikat yang dapat untung seperti ini. Katanya.

Beliau dalam kenyataan yang sama, turut mempersoalkan mengapa mahu menjual kepada syarikat Amerika yang menyokong Israel dan apakah motif tersebut.

“Kenapa nak jual 30% kepada syarikat Amerika yang menyokong Israel?

“Saya tak faham.

“Mungkin ada udang di sebalik batu? Ujar Mahathir.

Sebelum ini, Khazanah Nasional Berhad mengumumkan ia kini menerajui sebuah konsortium, Gateway Development Alliance (GDA), bagi tawaran sukarela prasyarat untuk membeli semua saham dalam Malaysia Airport Berhad (MAHB) yang belum dimilikinya, dengan harga tawaran RM1 seunit.

Pemegang saham konsortium itu turut merangkumi usaha sama antara Abu Dhabi Investment Authority (Adia) dan Global Infrastructure Partners (GIP).

GIP kini dimiliki oleh syarikat pelaburan multinasional Amerika Syarikat, Blackrock.

Namun, rancangan tersebut mendapat bantahan pelbagai pihak antaranya Profesor Saul Takahashi daripada Kajian Hak Asasi Manusia dan Keamanan di Universiti Osakajabaku, Jepun.

Dalam satu rakaman video yang tular, beliau melahirkan rasa terkejut apabila kerajaan Malaysia yang selama ini dikenali sebagai pendukung kuat perjuangan rakyat Palestin, mempertimbangkan untuk memberikan kontrak (BlackRock).

Berdasarkan rekod, BlackRock merupakan pembiaya utama kompleks ketenteraan Amerika Syarikat (AS), malah Ketua Pegawai Eksekutifnya terkenal dan lantang menyokong rejim Zinois. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp