PUTRAJAYA, 7 Ogos 24 – Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kembali membangkitkan persoalan kepada Anwar Ibrahim mengenai dakwaan beliau memperkaya dirinya ketika menjadi Perdana Menteri.
Dalam satu entri, semalam, Mahathir mencabar Anwar untuk segera menyatakan bukti tersebut.
“Oi! Bila lagi?, Kata nak tunjuk bukti jika diberi masa dua minggu. Sekarang sudah lebih satu tahun. Bukti konon saya curi duit Kerajaan berbillion –billion.
Dalam sindirannya, Mahathir mengajak Anwar untuk “sama-sama pergi Switzerland” sekiranya benar dia menyembunyikan kekayaannya di negara itu.
Mahathir berkata ketiadaan respons dari Anwar untuk menyahut cabarannya menunjukkan perdana menteri itu berbohong.
Pada Mei tahun lalu, Mahathir menerusi peguamnya telah memfailkan saman menuntut gantirugi RM150 juta dari Anwar atas dakwaan kononnya beliau mengumpul kekayaan peribadi ketika berkuasa.
Ketika berucap pada Kongres PKR pada Mac tahun lalu, Anwar menyasarkan serangannya terhadap seorang yang pernah berkuasa “22 tahun campur 22 bulan”, sambil mempersoalkan Mahathir yang mengeluh kehilangan kuasa politik dan ekonomi orang Melayu.
“Bagaimana tak hilang kalau kamu bolot untuk kamu, untuk keluarga kamu dan anak-anak kamu dan sekarang apabila hilang kuasa, bicara soal rakyat,” katanya Anwar. – malayadaily.com