TERKINI

Mahkamah India benar penganut Hindu lakukan aktiviti keagamaan di tapak masjid

Masjid di Uttar Pradesh – foto brecorder.com

VARANASI, 5 Feb 2024 – Mahkamah di India pada minggu lalu memutuskan untuk membenarkan penganut Hindu melakukan aktiviti keagamaan di ruang bawah tanah di sebuah masjid di negeri Uttar Pradesh, digelar ‘wazukhana’ yang ditutup pada 2022.

Masjid Gyanvapi merupakan salah sebuah tempat ibadat Muslim yang dituntut nasionalis Hindu selama beberapa dekad. Malah, turut disokong parti pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi iaitu Parti Bharatiya Janata (BJP).

Ia dibina pada abad ke-17 oleh Empayar Mughal di bandar Varanasi yang mana penganut Hindu dari seluruh negara melakukan upacara keagamaan mereka di Sungai Ganges.

Mahkamah turut mengarahkan pihak berkuasa daerah supaya membuat pengaturan sewajarnya untuk tempoh tujuh hari akan datang bagi memudahkan penganut Hindu.

Bagaimanapun, jawatankuasa masjid berkenaan tidak akan berdiam diri dan dijangka mahu mencabar keputusan itu di Mahkamah Tinggi.

Keputusan itu dibuat selepas penganut Hindu percaya kononnya masjid tersebut didirikan di atas tapak kuil yang dimusnahkan. Malah, tinjauan dilakukan sebuah agensi arkeologi tempatan baru-baru ini telah menyokong lagi dakwaan berkenaan.

Beberapa jam selepas pengumuman itu dibuat, kumpulan penganut Hindu mula ‘menceroboh’ masjid berkenaan.

Pada bulan lalu, Modi terlibat acara perasmian sebuah kuil yang dibina di atas bekas tapak runtuhan Masjid Babri yang berusia beberapa abad di bandar Ayodhya.

Puak nasionalis Hindu bertindak merobohkan struktur itu pada 1992 di bawah kempen yang diterajui BJP sehingga mencetuskan rusuhan kaum ganas yang meragut kira-kira 2,000 nyawa kebanyakannya Muslim di seluruh negara.

Pertikaian di mahkamah tentang masa depan bekas tapak Babri berakhir pada 2019 selepas sebuah mahkamah tinggi membenarkan pembinaan kuil Ram yang menurut kitab suci Hindu ia dilahirkan di bandar tersebut.

Bagi menyemarakkan lagi sentimen anti-Muslim, anggota BJP berulang kali merujuk sejarah pemerintahan Islam di bawah Maharaja Mughal sebagai ‘era perhambaan’.

Ketika merasmikan kuil itu, Modi tanpa menjaga sensitiviti orang Muslim di negara itu menyifatkan ia kononnya sebagai ‘ketibaan era baharu’ demi meraih sokongan menjelang Pilihan Raya Umum dijadualkan pada Mei depan.

Beliau dijangka mengekalkan jawatan untuk penggal ketiga berturut-turut yang merupakan tempoh paling lama sejak pentadbiran Perdana Menteri pertama, Jawaharlal Nehru.

Desakan supaya New Delhi mengekalkan ketuanan Hindu terus meningkat sejak Modi mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2014, sekali gus menjadikan kira-kira 210 juta penduduk minoriti Muslim seperti dianaktirikan selain masa depan mereka yang tidak jelas.

Ketika ini, beberapa kumpulan Islam bertindak mempertikaikan tuntutan nasionalis Hindu di mahkamah.

Pengerusi Lembaga Wakaf Pusat Sunni di Uttar Pradesh, Zufar Ahmad Faruqi berkata, mereka yakin terhadap kredibiliti badan kehakiman.

“Kami mahu hidup harmoni dan aman damai di samping melindungi monumen tinggalan sejarah. Ia tiada kaitan dengan politik dan kami sedia menghadapi kes tersebut di mahkamah,” ujarnya.

Difahamkan, undang-undang negara itu melarang tindakan mengubah mana-mana rumah ibadat dan memperuntukkan pengekalan ciri keagamaan seperti yang wujud pada era kemerdekaan kecuali kuil Ayodhya.

Baru-baru ini, Mahkamah Agung menghentikan rancangan untuk meninjau satu lagi masjid berusia beberapa abad di Uttar Pradesh untuk menentukan sama ada ia mengandungi tinggalan simbol Hindu. – Sinar Harian memetik agensi

Facebook
Twitter
WhatsApp