TERKINI

Malaysia Di Landasan Tepat Siapsiaga Hadapi Bencana – MERCY Malaysia

Gambar hiasan – Foto RTM

KUALA LUMPUR, 23 April 2023 – Malaysia berada di landasan yang tepat ke arah memastikan kesiapsiagaan negara menghadapi bencana alam, kata Timbalan Pengarah Eksekutif MERCY Malaysia Hafiz Amirrol.

Beliau berkata antara aspek penambahbaikan dilaksana adalah dari segi pengurusan maklumat dan komunikasi serta kesedaran mengenai risiko dan keperluan menghadapi bencana di setiap peringkat merangkumi kerajaan pusat, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Persediaan dalam bentuk kefahaman tentang risiko itu, contohnya pihak berkenaan mempunyai kesedaran dan kefahaman mengenai keperluan dana iaitu untuk respons, pemulihan dan kesiapsiagaan.

“Di samping itu, penambaikan dapat dilihat di agensi teknikal terutamanya, setiap tindakan dibuat berkait dengan pengurusan risiko bencana sudah lebih risk-informed decision and planning (keputusan dan perancangan berlandaskan maklumat risiko),” katanya ketika dihubungi Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada 24 Feb lepas mengumumkan RM150 juta disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi menambah baik keperluan aset, sistem amaran dan bantuan bencana kepada rakyat yang terkesan.

Sejumlah RM50 juta diperuntukkan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), bomba dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi menyediakan peralatan dan aset untuk menghadapi bencana manakala peranan komuniti sebagai kumpulan awal ketika bencana turut diperkasa dengan peruntukan RM20 juta di bawah Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti.

Hafiz berkata peruntukan kerajaan bagi persiapan menghadapi bencana itu disifatkan sebagai pembiayaan risiko perlu digunakan secara optimum dan ditadbir kelola melalui tadbir urus risiko yang baik di setiap peringkat pengurusan bencana.

Beliau berkata peranan NADMA, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan pihak berkepentingan termasuk badan bukan kerajaan penting dalam tadbir urus risiko supaya peruntukan digunakan secara optimum dan program pemerkasaan itu dijalankan dengan berkesan.

Katanya, penambahbaikan juga perlu dilaksanakan dari segi sistem amaran bencana khususnya memastikan sebaran maklumat itu dibuat dengan pantas, menyeluruh dan mudah difahami kepada segenap masyarakat termasuk Orang Kurang Upaya (OKU).

Pengarah Pusat Pencegahan dan Kesiapsiagaan Bencana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Khamarrul Azahari Razak berpandangan inisiatif kerajaan dengan menumpukan sistem amaran awal itu mencerminkan komitmen kerajaan memenuhi agenda global, Kerangka Kerja Sendai untuk Pengurangan Risiko Bencana 2015-2030.

Beliau berkata kesiapsiagaan agensi kerajaan terutama responder atau penggerak balas berada pada tahap baik berdasarkan pemerhatian di lapangan, namun kapasiti agensi itu perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa memandangkan keperluan berdepan bencana berbeza bergantung kepada skala, lokasi dan jenis bencana.

“Selain memperkasakan pihak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan, kerajaan juga perlu memberi perhatian kepada penyelenggaraan aset dan bukan hanya tertumpu kepada pembelian aset baharu.

“Kita juga harus mengambil kira senario pada masa hadapan, apa yang kita rujuk sebagai bencana baru muncul seperti bencana (banjir puing) yang berlaku di Baling, Kedah iaitu bencana berasaskan sediment oleh itu, jumlah peruntukan mungkin perlu ditingkatkan pada masa depan,” katanya.

Beliau menyifatkan usaha kerajaan memperkasakan peranan komuniti dengan meningkatkan tahap kesiapsiagaan masyarakat menghadapi bencana sebagai langkah tepat kerana pihak berkenaan boleh menjadi responder memandangkan mereka berada di lokasi kejadian bencana.

Selain melatih komuniti dengan kemahiran dan pengetahuan berdepan bencana, beliau mencadangkan kerajaan supaya meneliti keperluan lain seperti peralatan atau aset khusus yang boleh digunakan bagi memperkasa peranan mereka sebagai kumpulan awal memberi bantuan. – Bernama

Facebook
Twitter
WhatsApp