TERKINI

Malaysia Mohon Mendarat Di Sudan, Bawa Pulang Rakyat Terkandas – Zambry

Konflik Sudan – foto Bernama

SHAH ALAM, 24 April 2023 – Malaysia sudah menghubungi pentadbiran tertinggi Sudan bagi memohon kelulusan lintas udara dan mendarat sebagai usaha membawa keluar rakyat yang terkandas di negara bergolak itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan, Malaysia juga sedang mempertimbangkan beberapa pilihan lain bagi memindahkan rakyat Malaysia dari negara berkenaan.

“Kita sedang menggunakan saluran diplomatik pelbagai negara bagi menangani isu ini secara bersama. Usaha untuk berunding dengan pihak bertelagah bagi memberi laluan kepada usaha-usaha evakuasi terus berjalan.

“Sejak pagi tadi (Ahad) saya bersama dengan pasukan Ops Sudan mengikuti secara terperinci setiap langkah yang sedang diambil,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan media antarabangsa mengenai lanjutan penutupan ruang udara negara itu sehingga 30 April ini seperti yang diumumkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Sudan.

Dalam pada itu beliau turut memaklumkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Wisma Putra kini sedang berusaha menghubungi pihak berkepentingan lain di Sudan bagi mencari ruang untuk mengeluarkan rakyat Malaysia dari kawasan pertempuran.

Sebelum ini media melaporkan, seramai 32 rakyat Malaysia di tujuh lokasi berbeza masih terkandas di negara bergolak itu dalam keadaan selamat.

Konflik di Sudan mula tercetus pada 15 April lalu akibat pertempuran melibatkan Angkatan Tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) dengan angka korban akibat pergolakan perebutan kuasa itu kini mencecah 413 orang manakala 3,551 lagi cedera menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp