TERKINI

Malaysia sebagai ‘Harimau Asia’ di zaman Mahathir, kini dikenali negara ‘Kleptokrasi’

Khairuddin Abu Hassan – foto Awani

KUALA LUMPUR, 22 Jan 2024 – Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengingatkan veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub agar tidak lupa bahawa ketika di zaman Tun Dr Mahathir memerintah, Malaysia dikenali sebagai ‘Harimau Asia’ dan selepas itu Malaysia di kenali sebagai negara ‘Kleptokrasi’.

Dalam satu kenyataan, pemimpin Sekretariat Proklamasi Orang Melayu itu berkata, UMNO yang bermatlamatkan untuk membela bangsa, negara dan agama telah bertukar menjadi parti perompak.

“Dulu kami semua terpaksa tinggalkan UMNO kerana parti tersebut terlalu korup dan menyeleweng jauh dari matlamat penubuhannya.

“Dari bermatlamat untuk membela bangsa, negara dan agama; UMNO telah bertukar menjadi parti ‘perompak’ serta ‘penyamun.’

“Apakah Datuk Mustapha Yaakub lupa sehinggakan seluruh dunia menggelarkan kita sebagai negara ‘Kleptokrasi’ dari jenama ‘Harimau Asia’ ketika tanahair dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu?

Khairuddin ketika membidas kenyataan Mustapha Yaakub yang dilaporkan berkata bahawa kenyataan Dr Mahathir mengenai masa depan orang Melayu itu bermotifkan politik dendam dan cuba menakut-nakutkan orang Melayu.

“Sebenarnya Dr Mahathir merapu dan mengigau di siang hari. Melayu sebagai satu bangsa tidak mungkin akan hilang di bumi ini. Ujar Mustapha, memetik laporan Malaysia Gezette.

Menurut Khairuddin, Mahathir terpaksa tinggalkan UMNO kerana parti itu telah bertukar menjadi sarang merompak khazanah kerajaan serta duit rakyat.

“Itu bukan memecah-belahkan Melayu namanya.

“Kumpulan kami terpaksa meninggalkan parti UMNO kerana tidak mahu bersubahat dengan rejim Kleptokrasi yang menyamun duit kerajaan berbilion ringgit pada waktu itu.

“Hanya golongan yang tidak bermaruah serta tak berprinsip seperti Datuk Mustapha Yaakub saja yang sanggup berada bersama pemimpin-pemimpin Kleptokrasi. Kata Khairuddin.

Khairuddin mengingatkan vateran UMNO itu agar jangan terlalu angkuh menyatakan bangsa Melayu tidak boleh pupus dari bumi Malaysia.

“Pada tahun 2003 mantan Presiden UMNO selama dua puluh dua tahun menyatakan bahawa sekiranya pemimpin-pemimpin UMNO menjadi terlalu korup serta tidak mahu ubah perangai maka pada tahun 2020 rakyat bakal tolak UMNO.

“Pada waktu itu semua pemimpin-pemimpin UMNO yang angkuh seperti Datuk Mustapha Yaakub menyanggah ramalan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Namun, saya hendak tanya Datuk Mustapha Yaakub apa terjadi pada UMNO pada tahun 2018 dalam PRU14?, ujarnya.

Khairuddin menegaskan lagi bahawa ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara dan UMNO sanggup jadi ‘barua’ untuk memperkasakan DAP.

“Percayalah sepertimana ramalan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa dalam masa sepuluh tahun lagi Melayu bakal merempat di tanahair sendiri.

“Saya berdoa agar umur Datuk Mustapha Yaakub panjang untuk menyaksikan mala-petaka pada orang-orang Melayu sekiranya kita terus berpecah sesama sendiri. Katanya.

Baru-baru ini, dalam satu wacana ‘Iktibar 150 Tahun Perjanjian Pangkor’, Mahathir berkata bahawa bangsa Melayu berisiko untuk hilang dalam tempoh 10 tahun akan datang sekiranya tidak bersatu padu dari sekarang.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, Melayu juga akan ditawan dan ‘hilang tanpa perang’ ekoran tiada siapa yang ambil berat terhadap nasib bangsa itu ketika ini. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp