TERKINI

Masa depan budaya dan bahasa Melayu, kelam – Ku Seman

KUALA LUMPUR, 14 Feb 2024 – Kepimpinan politik dilihat tidak bersunggu-sungguh meletakkan bahasa Melayu di tempat yang sewajarnya semenjak selepas merdeka, lebih 60 tahun dahulu.

Pandangan ini dinyatakan oleh penulis veteran, Ku Seman Ku Hussain dalam satu wawancara bersama malayadaily, baru-baru ini.

Beliau berkata, kedudukan bahasa Melayu yang semakin terpinggir berpunca dari tolak ansur politik oleh orang-orang politik hingga menyebabkan rakyat tidak melihat isu tersebut sebagai suatu hal yang penting.

“Identiti semakin hilang, kebudayaan Melayu kita boleh tengok dari segi bahasa dan sasteralah, kalau kita tengok bahasa Melayu, dia paling asas dalam budaya Melayu, saya tengok tidak ada kemahuan politik ataupun “political will” untuk meletakkan balik budaya bahasa Melayu ni ke tempat yang diletakkan dalam perlembagaan.

“Perlembagaan telah meletak tempat yang tinggi tapi kita tidak melaksanakan sebab aspek-aspek puak politik tadi, kita banyak bertolak ansur dan menjaga kepentingan-kepentingan lain selain dari hal budaya, sastera, bahasa semua ni. Ujarnya.

Menurut beliau, masa depan bahasa Melayu dilihat kelam apatah lagi masyarakat kita terdedah dengan dunia tanpa sempadan di mana bahasa Melayu tidak wujud dalam apa yang disebuat sebagai ‘kampung global’.

“Kalau ditanya saya masa depan bahasa Melayu, saya melihat sangat kelamlah, sebab sekarang dengan dasar langit terbuka dengan komunikasi yang tidak bersempadan kita telah menjadi mangsa kepada globalisasi kita telah menjadi satu sebahagian dari kampung global, kampung global yang tak ada bahasa Melayu.

Ditanya apakah peranan pejuang bahasa dalam memartabatkan bahasa Melayu, beliau berkata pejuang budaya telah buat apa yang termampu, namun usaha tersebut tidak dapat mengatasi batas politik.

“Setengah pihak menyatakan apa peranan yang dimainkan oleh pejuang bahasa, pejuang budaya semua ni, saya fikir mereka dah buat apa yang termampu, (tetapi) tidak dapat melangkau batas politik.

“Saya tengok kepimpinan politik tidak ada kemahuan yang lebihlah untuk meletakkan benda tu di tempat yang sewajarnya dalam perlembagaan.

“Saya melihat contoh di Indonesia, Indonesia ada lebih 700 bahasa suku dan mereka boleh bersatu di bawah bahasa Indonesia dan bahasa Indonesia jadi bahasa ekonomi, bahasa bisnes dan di sana tidak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa bisnes.

“Yang menentukan nilai bisnes atau tidak bisnes atau ekonomi tidak ekonomi, adalah masyarakat dan masyarakat tu dibentuk oleh sosial politik. Ujarnya.

Ku Seman yang juga mantan editor kanan di sebuah akhbar terkemuka, membawa contoh di mana selain daripada bahasa Inggeris, bahasa Cina dilihat mempunyai nilai ekonomi dan ada nilai komersial kerana mereka telah memberi nilai tu.

“Tapi orang Melayu tidak memberi nilai tu pada bahasa Melayu, kalau nak diikutkan orang Melayu majoriti dan kita boleh menentukan bahasa mana yang seharusnya jadi ekonomik dan komersial, tapi kita tidak meletakkan dan Indonesia sudah berjaya membuktikan bahasa Indonesia maksudnya bahasa Melayu juga sebagai bahasa ekonomi, bahasa ilmu dan kita tidak melihat.

“Satu contoh yang paling dekat itu kalau nak pergi jauh kita boleh lihat Hong Kong, Korea lagi, tapi ni yang paling dekat pun kita tak melihat dan kita cuba menyalahkan bahasa Melayu kenapa dia tidak komersial di negara ini, katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan, ia bukan hanya untuk orang Melayu sahaja sebaliknya untuk semua rakyat Malaysia.

“Kita mendukung bahasa kebangsaan dan (bahasa) kebangsaan tu bukan bahasa untuk orang Melayu, bahasa Melayu tu bahasa untuk semua kaum untuk rakyat Malaysia.

Ku Seman menambah jika generasi baharu mahu menyelamatkan bahasa Melayu, ia perlu dibuat sekarang kerana perlembagaan tidak mampu menyelamatkan bahasa Melayu jika orang Melayu sendiri tidak berusaha memperjuangkannya.

“Kalau mereka tidak menyelamatkan (bahasa) yang ada dalam perlembagaan pun, benda tu akan akan hilang.

“Kalau mereka sayang bahasa Melayu, kena tunjuk dari sekaranglah, kita tidak dapat bergantung pada perlembagaan, perlembagaan tidak dapat menyelamatkan bahasa Melayu.

“Ini telah terbukti dalam 60 tahun selepas merdeka perlembagaan tidak menyelamatkan bahasa Melayu. Ujarnya. – malayadaily.com

Rakaman wawancara Ku Seman Ku Hussain boleh ditonton di sini

Facebook
Twitter
WhatsApp