TERKINI

Media Tidak Bertanggungjawab Sebar Berita Mengelirukan, kata SKMM

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia – foto mcmc.gov

KUALA LUMPUR, 30 Ogos 2023 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mempunyai tanggungjawab perundangan memastikan platform dalam talian tidak disalahgunakan menyebarkan kandungan jelik dan berunsur fitnah.

Badan itu berkata, terdapat peningkatan ketara penerbitan tidak bertanggungjawab disiarkan yang mengelirukan rakyat.

“Salah satu tanggungjawab perundangan utama SKMM adalah memastikan platform dalam talian tidak diguna pakai untuk sebarang pelakuan atau percubaan melakukan pelanggaran di bawah undang-undang bertulis Malaysia, ini termasuklah tindakan menyebarkan berita palsu, kandungan yang jelik dan berunsur fitnah.

“Sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan yang membimbangkan dalam penerbitan berita yang kurang bertanggungjawab, kurang peka dan kurang tepat. Terdapat organisasi media yang telah menerbitkan kandungan yang tidak tepat dan mengelirukan,” kata SKMM, dalam satu kenyataan, lewat malam tadi.

SKMM berkata demikian sebagai respon terhadap kenyataan sekumpulan wartawan kanan yang menyelar badan berkenaan atas tindakan sekatan yang dibuat terhadap beberapa laman media atas talian dan media penerbitan.

“Beberapa organisasi media didapati tidak bertanggungjawab menyebarkan berita yang mengelirukan atau dengan sengaja menyiarkan kandungan kurang tepat,” kata kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat SKMM, itu.

Wartawan kanan yang juga veteran dalam bidang itu membantah tindakan SKMM yang menurut mereka bertindak seperti ‘abang besar’.

Mempertahankan tindakan itu, SKMM berkata, berdasarkan keadaan semasa, etika kewartawanan mutakhir ini semakin dipinggirkan segelintir penerbitan.

“Apabila tumpuan diberi kepada kandungan media yang dijana sendiri pengguna menarik perhatian, etika kewartawanan kini seolah-olah dipandang enteng dan adalah amat mencabar untuk membezakan kandungan yang berlandaskan fakta atau sebaliknya.

“Senario ini memberi ancaman kepada keharmonian masyarakat memandangkan maklumat yang mengelirukan disebar dengan mudah dan menimbulkan naratif yang kurang tepat,” kata kenyataan itu lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp