TERKINI

Melayu Tak Ikut Syarat Terima Orang Asing Punca Masalah Dalam Negara – Tun M

KUALA LUMPUR, 1 Sept 2023 – Disebabkan orang Melayu tidak mengikut syarat asas sebelum menerima warga asing menjadi warganegara adalah punca masalah di dalam negara, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, tidak seperti negara lain, warga asing yang ingin menjadi rakyat negara itu perlu melalui beberapa prasyarat sebelum kerakyatan diterima.

Orang Melayu sebaliknya pemurah apabila sanggup menerima pendatang sebagai rakyat walaupun mereka tidak berasimilasi dengan penduduk tempatan.

“Mereka terpisah daripada penduduk asal dan mengekalkan identiti dengan negara asal dan identiti kaum dengan fungsi ekonomi,” kata Mahathir, dalam hantaran di media sosial X, semalam.

“Negara yang diperintah Melayu ini bagaimanapun masih kekal stabil dan aman. Malah berkembang lebih cepat berbanding negara lain yang meletakkan syarat dan tekanan,” katanya.

Namun Mahathir berkata, golongan pendatang mengambil kesempatan disebabkan kemurahan hati itu dengan mengatakan tanah diduduki bukan hanya dimiliki Melayu sebagai penduduk asal tetapi milik sama rata kepada pendatang dan cucu cicit yang enggan berasimilasi.

“Melayu berhak membantah, untuk menyatakan bantahan itu rasis adalah salah,” katanya.

Sebaliknya tuntutan mereka yang enggan berasimilasi, dan dikenali dengan penduduk asal yang masih kekal dengan kaum dan negara asal yang rasis, kata Mahathir. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp