TERKINI

Menara KL : Wakil BERSATU Gesa Kerajaan Berlaku Adil Dan Berkecuali

Wan Saiful Wan Jan – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 2 April 25 – Kerajaan digesa untuk mengambil sikap berkecuali dalam isu kontroversi melibatkan pengurusan Menara Kuala Lumpur.

Ahli Majlis Tertinggi BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam entrinya di facebook semalam berkata, kerajaan tidak perlu menggunakan pihak penguatkuasa kerana kes ini sedang dalam perbicaraan di mahkmah.

“Kerajaan perlu menunjukkan sikap berkecuali dan memberikan keadilan kepada kedua belah pihak tanpa menunjukka sikap berat sebelah.

”Jangan sesekali kerajaan menjadi pembela kepada satu pihak, penindas pihak yang lain.

“Kes ini sedang dalam perbicaraan di mahkamah. Maka kerajaan jangan pula mempergunakan pihak penguatkuasa seperti polis untuk kepentingan tertentu sahaja. Tegasnya.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor turut mempersoalkan motivasi kerajaan dalam menukar operator Menara Kuala Lumpur sedangkan anak syarikat Hydrochoppe iaitu MKLSB telah membuat pelaburan besar untuk menjadikan Menara KL sebagai tarikan pelancungan dunia.

“Usaha kerajaan mengusir syarikat yang mengoperasikan Menara Kuala Lumpur, iaitu Hydroshoppe Sdn Bhd, untuk menggantikan mereka dengan LSH Service Master Sdn Bhd  menimbulkan persoalan mengenai motivasi sebenar langkah itu diambil.

“Hydroshoppe adalah sebuah syarikat Bumiputera yang telah dijanjikan konsesi. Hydroshoppe telah membuat pelaburan yang besar untuk menambahbaik Menara Kuala Lumpur dan menjadikannya tarikan pelancong domestik dan pelancong antarabangsa.

Menurutnya, langkah Kementerian Komunikasi yang mengarahkan pengusiran beberapa hari sahaja sebelum Aidilfitri adalah amat tidak sensitif dengan perasaan pekerja-pekerja Islam yang terlibat.

“Nyata sekali kerajaan ini adalah kerajaan yang terpisah (detached) daripada sensitiviti orang Islam.

“Tular juga surat Kementerian Komunikasi kepada pihak PDRM memaklumkan mengenai pengusiran ini.

“Kenapa Kementerian Komunikasi perlu melibatkan polis dalam hal berkaitan pertikaian komersial yang telah dibawa ke mahkamah? Adakah kerajaan mahu menjadikan Malaysia negara polis?

Dalam isu yang sama, Wan Saiful turut mempersoalkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas Pengarah Hydroshoppe sebelum sebagai suatu tekanan yang sengaja dibuat.

“Tindakan kerajaan ini juga menyebabkan ada rakyat mula bertanya adakah kes SPRM terhadap Pengarah Hydroshoppe sebelum ini juga adalah sebahagian daripada tekanan yang sengaja dibuat untuk menekan beliau supaya beliau melepaskan Menara Kuala Lumpur. Tambahnya.

Terdahulu, bekas pengendali Menara Kuala Lumpur, Hydroshoppe Sdn Bhd, memanggil sidang media tergempar kerana bimbang akan diusir tepat tengah malam.

Perkara ini susulan tersebarnya sepucuk surat dalam talian yang mendakwa Kementerian Komunikasi telah mengesahkan bahawa LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM) akan mengambil alih pengurusan dan operasi Menara KL sebagai pemegang konsesi baru berkuat kuasa esok.

Hydroshoppe Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) berkata pihaknya percaya polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan bertindak mengusir mereka tepat pada tengah malam, sesuatu yang mereka sifatkan sebagai “penyalahgunaan kuasa”. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp