TERKINI

Menteri KDN Perlu Jelaskan Apa Istimewanya Zahid – Rafique Rashid

Gambar hiasan – foto the malaysia online

KUALA LUMPUR, 14 Jun 2023 – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail perlu menjelaskan alasan yang membolehkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diberikan keistimewaan untuk melawat bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di penjara.

Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid juga menuntut penjelasan sama daripada Komisioner Jeneral Penjara Malaysia.

“Pelbagai persoalan kini timbul. Antara yang paling penting adalah bagaimana pertemuan ini diluluskan?

“Bukankah pertemuan dalam penjara dengan banduan atau orang dalam tahanan terhad kepada ahli keluarga, peguam dan pihak berkuasa seperti polis, Imigresen, dan SPRM?” kata Rafique dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Perkara itu didedahkan Ahmad Zahid ketika berucap di Perhimpunan Agung UMNO pada Sabtu lalu yang mengatakan beliau turut membawa makanan kegemaran Najib dalam pertemuan hampir dua jam itu.

“Tambahan pula bolehkah pertemuan sehingga dua jam? Bukankah maksima adalah 45 minit? Bagaimana boleh pula buat jamuan mini dalam Penjara? Bukankah ahli keluarga hanya boleh dibenar buat demikian sewaktu perayaan?

“Bukankah kalau ahli keluarga hendak peluk salam cium pun susah dek kerana dipisahkan dengan cermin pengadang, cakap pun melalui telefon disangkut pada dinding pengadang?”soal Rafique lagi.

Disebabkan tiada penjelasan daripada pihak berkuasa, Rafique berkata beliau turut menghantar surat rasmi kepada pihak berkuasa itu untuk mendapatkan jawapan

“Pertemuan untuk bincang mengenai Pengampunan di Raja? Mengapa tidak serah pada Peguam sahaja? Atau ahli keluarga?

“Apa istimewanya Zahid Hamidi, tidak guna laung slogan Madani “Bermaruah, Berilmu, Berintegriti” sekiranya sekadar retorik,” kata Rafique lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp