TERKINI

Meritokrasi Berupaya Jadi Diskriminasi, Kata MKT Umno

Hisham Jalil – foto Awani

KUALA LUMPUR, 27 Ogos 2023 – Sistem meritokrasi yang diperjuangkan sesetengah pihak tidak dapat menjamin keadilan bagi semua kaum kerana ia berupaya mewujudkan diskriminasi secara sistematik, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Hisham Jalil.

Hisham berkata, bagi memastikan keadilan dapat dicapai sistem yang lebih baik untuk digunakan adalah sistem keadilan sosial kerana ia dapat menjamin keadilan untuk semua.

“Mengapa meritokrasi itu tak adil di Malaysia. Meritokrasi bergantung kepada kriteria, ia dibuat manusia, kalau kriteria itu tidak adil maka ia akan jadi sampai menjadi diskriminasi yang sistematik dalam satu sistem .

“Contoh, kalau kata di suatu tempat nak naik pangkat atau bagi biasiswa, meritokrasi kalau ikut kriteria dia kena pandai Bahasa Inggeris, tetapi tak semestinya orang yang tak pandai Bahasa Inggeris itu tidak pandai,” kata Hisham.

Beliau berkata demikian dalam program ‘Dialog Tiga Penjuru’ yang disiarkan secara langsung oleh Astro Awani, baru-baru ini.

Dialog itu turut menampilkan ahli Parlimen Bachok Shahir Sulaiman dan Prof Wong Chin Huat, Pensyarah Sains Politik Institut Asia Tenggara Jeffrey Cheah, dari Universiti Sunway.

“Contohnya, pelajar di Terengganu setiap tahun dia dapat baik dalam UPSR, SPM, dan STPM, tapi kalau nak banding kebolehan berbahasa Inggeris dengan orang di Kuala Lumpur memang tidak adil,” katanya.

Oleh itu katanya, hanya melalui sistem keadilan sosial akan dapat menjamin keadilan dan mengelakkan berlakunya diskriminasi.

“Kalau nak bagi biasiswa berdasarkan kriteria tersebut ini akan menjadikan diskriminasi yang sistematik.

“Daripada meritokrasi, kita kena buat keadilan sosial,” katanya lagi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp