31 Jan — Pejuang Negeri Johor mencadangkan pelaksanaan Mini Bas Rakyat sebagai langkah segera untuk mengurangkan kesesakan trafik dan meringankan kos perjalanan harian rakyat di Johor Bahru.
Menurut Ketua Penerangan Pejuang Negeri Johor, Suraya Binti Sulaiman, Johor Bahru, bandar kedua terbesar di Malaysia dengan populasi sekitar 1.8 juta, kini menghadapi tekanan kesesakan yang semakin kritikal. Projek pengangkutan mega seperti LRT dan ART masih mengambil masa bertahun-tahun untuk disiapkan, justeru penyelesaian segera amat diperlukan.
“Walaupun Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM31 juta untuk perkhidmatan Bas Muafakat Johor, isu asas seperti kekerapan rendah, liputan terhad dan tahap kepuasan pengguna yang lemah masih belum dapat diselesaikan sepenuhnya,” kata Suraya.
Beliau menambah bahawa penubuhan Johor–Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) akan meningkatkan pergerakan harian pekerja dan pelawat, sekali gus menambah tekanan terhadap sistem pengangkutan sedia ada.
Mini Bas Rakyat dicadangkan sebagai solusi jangka pendek yang praktikal, pantas dan berdaya kos. Dengan anggaran kos RM30 hingga RM50 juta bagi 100 unit, bas bersaiz kecil ini sesuai untuk jalan sempit dan kawasan perumahan. Tambang rendah sekitar RM1 hingga RM2, pas bulanan RM30, serta pengecualian bayaran bagi pelajar, warga emas dan OKU dijangka dapat meringankan beban rakyat.
Perkhidmatan ini juga dicadangkan beroperasi dengan kekerapan tinggi, masa menunggu hanya 5 hingga 10 minit, serta disokong oleh jadual perjalanan yang jelas di setiap hentian. Penggunaan teknologi GPS bagi pemantauan masa nyata akan membolehkan pengguna merancang perjalanan dengan lebih cekap dan yakin.
Mini Bas Rakyat juga berpotensi berfungsi sebagai perkhidmatan pengantara (feeder) ke RTS Bukit Chagar dan kawasan JS-SEZ.
“Johor Bahru memerlukan pendekatan pragmatik dan segera sementara menunggu projek pengangkutan berskala besar disiapkan. Mini Bas Rakyat yang fleksibel, berkos rendah dan dilengkapi pemantauan digital masa nyata adalah langkah realistik untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menyokong pembangunan ekonomi negeri,” kata Suraya.
Beliau menekankan, perkhidmatan bas yang selesa, mudah diakses dan dipantau secara langsung akan menjadi pilihan rakyat berbanding menanggung kos petrol dan parkir yang meningkat. – malayadaily