TERKINI

MUDA Umum Keluar Kerajaan Perpaduan, Sertai Blok Pembangkang

Parti MUDA – foto Mykmu.net

PETALING JAYA, 11 Sept 2023 – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memutuskan untuk keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan menyertai blok pembangkang sebagai kuasa ketiga.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan dibuat bersama pimpinan Muda yang lain.

“Surat telah diutus ke Speaker Dewan Rakyat (Tan Sri Johari Abdul) berkenaan perihal ini. Ini merupakan keputusan yang sukar tetapi ia mesti dilakukan.

“Tindakan kerajaan menggugurkan 47 pertuduhan rasuah Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) menyukarkan Muda untuk terus kekal berada dalam kerajaan. Ini bukan kali pertama saya membuat keputusan berdasarkan prinsip,” katanya menerusi sebuah video yang dimuat naik di aplikasi X (dahulu Twitter).

Syed Saddiq berkata, Muda ingin memberi fokusnya menjadi kuasa ketiga di blok pembangkang.

“Supaya menjadi suara rakyat dan mainkan peranan semak dan imbang. Muda akan tetap menyokong segala usaha reformasi institusi serta perihal rakyat,” katanya.

Pengumuman Muda ini menyebabkan Kerajaan Perpaduan hanya mempunyai 147 ahli Parlimen iaitu kurang satu untuk majoriti dua pertiga.

Muda hanya mempunyai dua wakil rakyat yang mewakili parti tersebut iaitu Syed Saddiq sebagai ahli Parlimen Muar dan Amira Aisya Abdul Aziz sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa. – Utusan

Facebook
Twitter
WhatsApp