TERKINI

Najib berhak kemuka pengampunan lagi kepada Agong baharu, kata Anwar Ibrahim

Najib Razak (kiri), Ahmad Zahid Hamidi (kanan) – foto The Malaysia Online

KUALA LUMPUR, 3 Feb 2024 – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, Najib juga boleh mengemukakan permohonan rayuan pengampunan sekali lagi selepas ini kepada Yang di-Pertuan Agong yang baharu, untuk mendapatkan pengampunan seterusnya.

“Bagaimanapun, terdapat kes (membabitkan Najib) yang sedang berjalan di mahkamah, melalui proses kehakiman secara bebas yang masih perlu diteruskan.

“Pada masa sama, Najib berhak sekali lagi merayu kepada Yang di-Pertuan Agong baharu. Saya rasa proses itu perlu dihormati, ia di luar bidang kuasa Perdana Menteri atau kerajaan.

“Saya menghormati keputusan Tuanku. Sekarang kita mempunyai Yang di-Pertuan Agong baru. Apa saja yang dirasakan, sudah tentu ia sangat politik, ada yang menyokong, ada yang tidak.

“Tetapi mereka tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa kamu mesti menghormati hak setiap orang yang disabitkan kesalahan untuk merayu kepada Lembaga Pengampunan.

“Kini Lembaga Pengampunan sudah membuat keputusan. Jika seseorang berpuas hati..maka ia adil, jika sebaliknya, beliau masih mempunyai jalan untuk merayu selepas ini,” katanya dalam tembual bersama stesen televisyen Al-Jazeera petang tadi.

Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, dalam kenyataan petang tadi turut mengumumkan denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Namun sekiranya denda itu tidak dibayar, tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.

Mengulas lanjut, Anwar berkata Najib sudah melalui proses undang-undang untuk memohon pengampunannya, ketika beliau kini menjalani hukuman di penjara.

“Najib melalui proses undang-undang dan kini berada dalam penjara. Tetapi ia adalah hak setiap rakyat yang disabitkan untuk merayu kepada raja.

“Saya pernah duduk di Lembaga Pengampunan sebagai menteri yang menjaga Kuala Lumpur, dan kini dipegang oleh orang lain.

“Tetapi sudah tentu raja sebagai Raja Berperlembagaan, baginda berunding dengan Peguam Negara, Perdana Menteri dan ramai lagi.

“Ini sudah tentunya benteng, dan untuk menegakkan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya. – Berita Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp