TERKINI

NGO ASWA Sokong Hukuman Berat Kartel Beras

Wan Azliana Wan Adnan – malayadaily.com

SHAH ALAM, 9 Okt 2023 – Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (Aswa), Wan Azliana Wan Adnan menyokong cadangan supaya kumpulan atau kartel yang mengkhianati subsidi diberikan kepada rakyat dengan memanipulasi bekalan beras dalam negara dikenakan hukuman lebih berat seperti penjara wajib dan sebat.

Wan Azliana berkata, hukuman lebih keras itu penting bagi memberi pengajaran kepada pihak lain agar tidak mengulangi perbuatan sama.

Menurutnya, kewujudan pelbagai kartel sebelum ini dan terbaru melibatkan beras jelas menunjukkan jenayah itu pelu segera diselesaikan.

“Kompaun atau denda yang dikenakan terhadap kartel ketika ini masih belum mencukupi untuk memberi pengajaran kepada mereka. Ditambah pula mereka mampu untuk membayar denda tersebut.

“Jadi, saya melihat penjara wajib menjadi kaedah terbaik untuk mengekang kewujudan kartel ini. Kita tidak boleh lagi melihat perkara ini isu biasa tetapi perlu ditangani segera.

“Saya juga ingin turut mencadangkan supaya kumpulan yang terlibat dengan kartel ini dikenakan hukuman di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana apa yang dilakukan itu satu memberi kesan cukup besar kepada rakyat dan negara,” katanya kepada Sinar Ahad.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh pada Selasa mencadangkan supaya kerajaan mengkaji semula hukuman lebih berat seperti penjara dan sebatan kepada pihak yang memanipulasi serta melakukan penyelewengan terhadap subsidi kerajaan.

Exco Melaka itu berkata, hukuman tersebut bagi memberi pengajaran terutama kartel agar tidak mengambil kesempatan dalam situasi rakyat sedang tertekan dengan ketiadaan bekalan beras tempatan. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp