TERKINI

PAS Pulau Pinang Tegas: Sedia Bergerak Solo, Terbuka Kerjasama Dengan Parti Lain

PULAU PINANG, 28 Dis — PAS Pulau Pinang menegaskan parti itu tidak mempunyai sebarang masalah untuk bergerak secara solo dalam menghadapi pilihan raya akan datang sekiranya kerjasama politik tidak lagi dapat diteruskan.

Pengarah Jabatan Komunikasi Strategik PAS Negeri Pulau Pinang, Anas Soffy Abd Wahid, berkata prinsip persahabatan dalam politik perlu berteraskan adab dan kejujuran, bukannya mengambil kesempatan atau bertindak menjejaskan rakan sendiri.

Menurut beliau, PAS selama ini membantu menampung kelemahan rakan politik ketika bekerjasama, namun keadaan menjadi tidak boleh diterima apabila wujud pihak yang cuba menjatuhkan PAS dari dalam.

“Apabila kawan menunjukkan perangai yang mencari jalan untuk menjatuhkan kita, maka ia telah menjadi musuh dalam selimut. Apabila menjadi musuh, maka tidak boleh lagi bersama,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, merujuk kepada krisis politik di Perlis.

Dalam pada itu, Anas Soffy menegaskan PAS berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya untuk menghadapi sebarang pilihan raya tanpa bergantung kepada bantuan parti lain.

“PAS tidak ada masalah langsung untuk go solo. Alhamdulillah, jentera pilihan raya lengkap dan cukup untuk bergerak secara bersendirian,” katanya.

Bagaimanapun, beliau turut menegaskan PAS kekal terbuka untuk menjalinkan kerjasama politik dengan parti lain yang sehaluan, termasuk Parti Pejuang TanahAir, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PERKASA) serta parti-parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Kenyataan itu dilihat mencerminkan pendirian PAS Pulau Pinang yang lebih pragmatik dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan landskap politik menjelang pilihan raya akan datang. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp