TERKINI

PAS Sokong Proklamasi Kerana Selari Perjuangan Nabi Muhammad, kata Hadi

Abdul Hadi Awang – foto Sekretariat Proklamasi Orang Melayu

SHAH ALAM, 26 Julai 2023 – PAS menyokong perjuangan Proklamasi Orang Melayu kerana ia selari dengan perjuangan Nabi Muhammad yang mengutamakan penyatuan bangsa terlebih dahulu, kata Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Hadi berkata, dalam perjuangan itu, Proklamasi Orang Melayu, yang dipelopori bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak meminggirkan kaum lain

“Disinilah kita sokong Proklamasi Melayu kerana perjuangan Nabi Muhammad mesti perjuangkan bangsa dulu.

“Kita tak nafi kaum lain kerana Melayulah bangsa paling beradab,” kata Hadi, ketika sesi townhall bicara negarawan dan agamawan untuk rakyat Malaysia, di Shah Alam, malam tadi.

Hadi berkata, kepimpinan Islam haruslah dari kalangan bangsa yang memerintah berdasarkan Islam.

“Kepimpinan Islam mesti bangsa memerintah Islam ini syaratnya. Orang Melayu dengan Islam sangat rapat sehingga tiap-tiap Melayu itu Islam.

“Malangnya mereka berpecah menjadi tanggungjawab kita untuk menyatukan Melayu dengan Islam,” kata Hadi.

“Allah tak izin tanah orang Islam diambil bukan Islam tetapi boleh kerjasama dengan bukan Islam,” tambahnya.

Hadi, Mahathir, dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mula mengadakan kerjasama selepas Aidiladha lalu, khususnya membabitkan penyatuan Melayu tanpa latar politik kepartian.

Mahathir, yang juga pengerusi Proklamasi Orang Melayu, dalam sesi program malam tadi turut menyeru agar penyokong mereka mengundi calon PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.

Negarawan itu berkata, hanya dengan sokongan seperti itu akan mampu memenangkan calon PN pada PRN nanti.

Enam negeri, termasuk Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan terlibat untuk PRN tersebut.

Sebanyak 245 kerusi DUN akan dipertandingkan dalam PRN itu. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp