TERKINI

Pasukan Perubatan KKM siap sedia ke Gaza

Gambar hiasan, pasukan perubatan KKM – foto Majoriti

PUTRAJAYA, 14 Nov 2023 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia dan sudah mengenal pasti pasukan perubatan yang boleh dimobilisasikan ke Gaza, Palestin sebaik sahaja kebenaran diberikan.

Kementerian itu dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan, pasukan perubatannya telah didedahkan dengan latihan persediaan yang bersesuaian.

“Mereka akan terlibat dalam merawat mangsa-mangsa bencana peperangan,” katanya.

Ujar KKM, penghantaran pasukan perubatan itu akan dibuat menerusi kerjasama Kementerian Luar Negeri dan agensi awam lain serta koordinasi Persekutuan Palang Merah Antarabangsa (IFRC).

“Buat masa ini, penghantaran pasukan perubatan belum dilaksanakan kerana menanti kebenaran, mengambil kira keadaan semasa peperangan yang masih berlaku di Semenanjung Gaza,” maklum kementerian itu.

KKM turut menjelaskan, pihaknya akan menghantar alat guna habis (consumables) dan ubat-ubatan dalam siri penghantaran bantuan perubatan kali ketiga ke Gaza dalam tempoh terdekat.

“Bantuan itu melibatkan syringe pump, sutureIV cannuladressings dan bandage.

“Tidak ketinggalan perkhidmatan neurosurgery dan pembedahan trauma, kemudahan peralatan seperti medical beds dan ubat-ubatan yang sesuai,” katanya.

Untuk rekod, bantuan kemudahan perubatan pertama dari Malaysia sebanyak 20 tan dilaksanakan pada 3 November lalu, manakala penerbangan kedua dibuat pada 11 November dalam jumlah yang sama.

Sementara itu, KKM mengecam tindakan Israel yang melakukan pengeboman ke atas hospital.

“Ia satu tindakan yang melanggar hak asasi manusia, tidak berperikemanusiaan, bertentangan dan melanggar Konvensyen Antarabangsa Geneva.

“Ia perlu dihentikan serta-merta bagi membolehkan hospital yang masih beroperasi dapat terus memberikan bantuan perawatan perubatan kepada rakyat Palestin yang tercedera,” tambah KKM.

Menerusi maklumat yang disampaikan oleh Gaza-Medics Worldwide, daripada 35 buah hospital yang terdapat di Semenanjung Gaza, satu per tiga telah pun musnah. – Sinar Harian

Facebook
Twitter
WhatsApp