KUALA LUMPUR, 6 Nov 2023 – Peguam, Rafique Rashid membidas cadangan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli yang mahu menubuhkan unit khas bagi membantu memantau sebarang isu agama, raja dan kaum (3R) di media sosial.
Menurut Rafique, ia merupakan satu usaha untuk menggambarkan hanya naratif mereka sahaja yang betul.
“Ini adalah satu lagi dakyah yang ingin dimainkan oleh mereka dalam kerajaan untuk membawa naratif mereka saja sebagai naratif yang betul.
“Saya nak nasihatkan kepada AMK (Adam) supaya memahami betul-betul apa maksud itu 3R.
Menurut Rafique yang juga Ketua Penerangan parti Pejuang, 3R dari segi bercakap mengenai Melayu, bercakap mengenai Raja-raja bercakap mengenai agama Islam itu tidak salah dari segi undang-undang selagi mana ianya adalah mengikut lunas perlembagaan.
“Perkara kedua adalah saya memohon pihak polis, pihak IGP (Ketua Polis Negara), pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengawasi pergerakan betul-betul AMK kerana akhirnya isu ini akan dipolitikkan, ujarnya kepada malayadaily.
Rafique mempersoalkan mengapa apabila pihak yang dalam pembangkang bercakap mengenai 3R ianya salah tetapi boleh pula AMK mencadangkan nak menghantar pasukan-pasukan pemantau untuk melihat keadaan tersebut.
“Mengapa hendak ambil alih pekerjaan pihak polis atau pihak berkuasa atau pihak keselamatan?
“Akhir sekali apa yang akan dilakukan adalah, saya percaya (mereka) memperkasakan cyrto-cytro, ejen-ejen mereka dimedia sosial untuk membuat komplen-komplen yang akhirnya bertindak sebagai penutup suara rakyat yang bebas nak bersuara.
“Saya juga menyaranlah timbalan menteri buatlah kerja sebagai timbalan menteri, tak perlu nak jadi cytro.
Semala, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abdul Halim bercadang untuk menubuhkan unit khas bagi membantu memantau sebarang isu agama, raja dan kaum (3R) di media sosial.
Adam Adli yang juta timbalan menteri belia dan sukan, berkata ia antara cadangan dikemukakan ketika Konvensyen AMK dan akan diteliti bagi menentukan kaedah pelaksanaannya. – malayadaily.com