TERKINI

Peguam Negara Fail Rayuan Pembebasan Empat Kes Muhyiddin

Idrus Harun (kiri), Muhyiddin Yassin (kanan) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 15 Ogos 2023 – Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun hari ini memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebas dan melepaskan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada empat pertuduhan salah guna kuasa.

Peguam Negara itu bagaimanapun berkata keputusan itu hanya membabitkan empat pertuduhan bagi kesalahan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Manakala tiga lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang dihadapi pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu kekal.

“Pihak pendakwaan ingin menyatakan bahawa notis rayuan mengenai keseluruhan keputusan telah difailkan hari ini, pihak pendakwaan juga ingin menjelaskan bahawa permohonan yang dibenarkan mahkamah sebelum ini hanyalah atas empat pertuduhan (salah guna kuasa) di bawah Seksyen 23 Akta SPRM.

“Tiga lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 ke atas Muhyiddin masih kekal dan tarikh sebutan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur ialah pada 19 Sept 2023,” kata Idrus.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur awal hari ini membenarkan permohonan Muhyiddin untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa, atas alasan pertuduhan itu tidak jelas dan melanggar keperluan Kanun Tatacara Jenayah. – malaysiakini.com

Facebook
Twitter
WhatsApp