TERKINI

Peguam Negara Perlu Siasat Kandungan ‘Memo’ Siasatan IPIC Sahih Atau Tidak, kata peguam

Haniff Khatri (kiri), Idrus Harun (kanan) – malayadaily.com

KUALA LUMPUR, 24 Ogos 2023 – Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun bukan sahaja perlu menjalankan siasatan berkenaan kebocoran memo dihantar pasukan pendakwaan kes International Petroleum Investment Company (IPIC) membabitkan Datuk Seri Najib Razak yang tersebar baru-baru ini, kata peguam Haniff Khatri.

Haniff berkata, peguam negara juga harus mengesahkan sama ada kandungan memo yang menyatakan pasukan yang terdiri daripada tujuh timbalan pendakwa raya dan lima pegawai penyiasat sebulat suara mengesyorkan kes tersebut tidak layak dibawa ke mahkamah kerana tidak cukup keterangan untuk disabitkan kesalahan.

“Siasat pembocoran itu perlu berkaitan jenayah di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) tetapi penyiasatan kandungan memo itu perlu untuk menidakkan kezaliman dan konsep kedaulatan undang-undang tanpa ambil kira siapa yang dituduh.

“Saya sarankan peguam negara selain menyiasat kebocoran memo, beliau perlu siasat dan sahkan kandungan memo itu betul dan dibuat pegawai bertugas waktu itu, ketua pasukan pendakwaraya kes IPIC.

“Kalau itu betul maka adakah ianya disahkan melalui dokumen dalam kertas siasatan?” kata Haniff, dalam kenyataan melalui rakaman video di media sosialnya.

Katanya, pendedahan yang berlaku sejak minggu lalu berhubung kewujudan memo tersebut mempunyai kesan berat dari sudut kedaulatan undang-undang kepada konsep seseorang tak bersalah sehingga didapati bersalah dan tidak perlu di bawa ke mahkamah jika tiada bukti.

“Konsep kedaulatan undang-undang bermaksud pertuduhan jenayah cuma boleh dibawa kepada mana-mana tertuduh sekiranya sampai tahap minima boleh dituduh dan keyakinan ia boleh di bawa kepada keputusan.

“Tanpa mengambil kira siapa sekalipun dituduh, keputusan dan standard membuat keputusan wajar setiap masa diletak di tahap tertinggi. Pertuduhan tak boleh ketepikan keperluan tahap minima yang perlu,” kata Haniff.

Pada 2018, Najib dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah amanah melibatkan dana kerajaan berjumlah RM6.6 bilion, yang didakwa termasuk bayaran kepada IPIC.

Ketua Umno Bahagian Pekan Datuk Fakhruddin Mohd Ariff juga menuntut jawapan daripada peguam negara berhubung perkara itu, yang menurutnya merupakan kezaliman terhadap Najib, sekiranya benar.

“Seharusnya Pejabat Peguam Negara menarik semula kesemua enam pertuduhan berkaitan kes 1MDB-IPIC ini,” katanya.

Perkara itu juga katanya mampu memberikan implikasi yang sangat besar dalam hubungan diplomatik antara Malaysia dengan Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu kerana pemilik syarikat IPIC adalah kerajaan Abu Dhabi. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp