TERKINI

Pejuang Johor: Banjir Kilat Bukan Fenomena Alam, Tapi Kelemahan Perancangan & Penyenggaraan

23 Jan — Pejuang Negeri Johor menegaskan bahawa banjir kilat yang melanda Johor Bahru dan beberapa daerah lain baru-baru ini bukan sekadar fenomena alam semata-mata, tetapi berpunca daripada kelemahan perancangan pembangunan, kegagalan penyelenggaraan sistem saliran, serta kehilangan kawasan tadahan hujan akibat pembangunan pesat dan tidak terkawal.

Bendahari Pejuang Negeri Johor, Dr Khairil Anwar Razali, berkata rakyat berhak menikmati pembangunan yang selamat dan mampan, bukannya pembangunan yang mengorbankan nyawa, harta benda dan kesejahteraan komuniti setempat.

“Pembangunan tanpa mengambil kira kapasiti sistem saliran dan kesan jangka panjang hanya akan membebankan rakyat apabila bencana berulang berlaku,” tegas beliau dalam kenyataan, semalam.

Di Johor Bahru, kawasan seperti Kampung Mohd Amin dan Jalan Kolam Ayer telah berulang kali dilanda banjir kilat akibat sistem saliran lama yang tidak lagi mampu menampung curahan hujan luar biasa.

Kerajaan sedang melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM9.8 juta untuk menaik taraf pintu air, sistem pam dan pembetung di Sungai Chat. Projek ini dijangka siap Januari 2026 dan bakal memberi perlindungan kepada ratusan keluarga.

Di Segamat, fenomena “banjir termenung” menghantui kampung-kampung seperti Sebarang Batu Badak, Serdang dan Kuala Paya, dengan 112 mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) awal Januari 2026 akibat air bertakung lama.

Manakala di kawasan Tangkak–Sungai Kesang, lebih 5,000 penduduk terjejas akibat banjir berulang sejak 2006. Sebuah RTB bernilai RM126 juta, termasuk pembinaan pintasan banjir sepanjang 0.5 kilometer, sedang dibangunkan dan dijangka siap Ogos 2026.

Pejuang Johor menyambut baik pelaksanaan RTB, namun menegaskan ia tidak mencukupi sekiranya projek pembangunan baharu terus mengabaikan garis panduan saliran, dan jika penyelenggaraan longkang serta sistem perparitan tidak dijalankan secara konsisten.

“Audit saliran wajib dilaksanakan sebelum sebarang projek pembangunan diluluskan,” kata Dr Khairil. “Pihak berkuasa tempatan juga perlu memastikan kerja-kerja penyelenggaraan sistem saliran dijalankan secara berkala, terancang dan telus demi kepentingan rakyat.”

Antara langkah segera yang dicadangkan termasuk, membersihkan sungai dan parit daripada sampah serta rumput secara berjadual, pemetaan kawasan industri di sepanjang sungai untuk mengenal pasti punca pencemaran dan projek mendalamkan sungai di kawasan kerap melimpah

“RTB bukan sekadar projek mega, tetapi pelindung nyawa rakyat. Audit saliran bukan satu pilihan, tetapi satu kewajipan,” tambah Dr Khairil. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp