TERKINI

Pejuang Johor Bimbang Kes Perceraian Makin Parah, Tuntut Nafkah & Hak Penjagaan Diperkukuh

JOHOR BAHRU, 15 Nov – Pejuang Negeri Johor menyuarakan kebimbangan serius terhadap peningkatan kes perceraian di negeri itu, terutama melibatkan hak penjagaan anak serta kegagalan bapa menunaikan nafkah yang diperintahkan Mahkamah Syariah.

Menurut Ketua Penerangannya, Suraya Sulaiman, situasi ini memberi tekanan besar kepada ibu serta anak-anak dan menjejaskan kesejahteraan sosial masyarakat Johor secara keseluruhan.

“Data menunjukkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Johor meningkat daripada 6,844 kes pada 2019 kepada 7,306 kes pada 2024, dengan kenaikan ketara dalam tuntutan cerai biasa dan pengesahan lafaz cerai.

“Golongan muda berumur 26 hingga 35 tahun mencatat jumlah tertinggi, melibatkan 2,838 pasangan sepanjang tahun lalu — bersamaan lebih 200 kes sebulan. Katanya alam satu kenyataan.

Suraya turut menjelaskan, dalam isu nafkah, sebanyak 371 tuntutan difailkan dari Mei 2024 hingga April tahun berikutnya, termasuk 109 kes hanya dalam tempoh empat bulan pertama 2025.

Sejak 2012 hingga Ogos 2023, Bahagian Sokongan Keluarga Johor telah mengeluarkan pendahuluan nafkah berjumlah RM77,400 kepada bekas isteri melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), menunjukkan masalah berpanjangan melibatkan kegagalan membayar nafkah.

Pejuang Johor turut menerima banyak aduan berkaitan ibu tunggal yang terpaksa menanggung anak tanpa sokongan nafkah, selain proses tuntutan hak penjagaan yang mengambil masa lama.

Parti itu turut menegaskan bahawa kebajikan dan masa depan anak mengambil keutamaan, dan tindakan tegas mesti diambil terhadap mana-mana ibu bapa yang culas dalam tanggungjawab mereka.

“Pejuang mengusulkan empat langkah segera: penguatkuasaan nafkah yang lebih ketat termasuk pembekuan akaun atau potongan gaji automatik; mempercepatkan proses tuntutan hak penjagaan; penubuhan unit sokongan psikososial khas; serta kempen pendidikan masyarakat mengenai kewajipan nafkah sebagai tanggungjawab agama dan undang-undang. Ujarnya.

Sebagai parti pembangkang, mereka komited untuk terus mendesak pembaharuan dasar dan penguatkuasaan lebih kukuh bagi memelihara kesejahteraan keluarga di negeri itu. – malayadaily

Facebook
Twitter
WhatsApp