1 Feb — Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor menggesa kerajaan negeri dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) melakukan perubahan menyeluruh daripada pendekatan reaktif kepada pencegahan proaktif bagi menangani isu pencemaran Sungai Johor yang semakin berulang dan membimbangkan.
Ketua Negeri Pejuang Johor, Nornekman Dato’ Osman, berkata insiden pencemaran terkini di Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Ulu Sungai Johor, sekali lagi mendedahkan kelemahan sistem penguatkuasaan sedia ada yang gagal melindungi sumber air dan komuniti setempat, khususnya masyarakat Orang Asli.
Menurut beliau, pencemaran berulang bukan sahaja menjejaskan kualiti air, malah memberi kesan langsung terhadap kesihatan, mata pencarian dan kesejahteraan komuniti, sekali gus menimbulkan persoalan serius terhadap keberkesanan pemantauan alam sekitar di negeri ini.
“Hakikatnya, Sungai Johor telah lama berada dalam keadaan terancam. Tindakan penguatkuasaan yang hanya diambil selepas pencemaran berlaku jelas tidak berkesan, apabila kes pelepasan efluen daripada kilang sawit dan industri berisiko tinggi terus berulang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nornekman menegaskan bahawa Pejuang Johor tidak menolak pelaburan, sebaliknya menyokong pelaburan berkualiti dan mampan yang tidak mengorbankan kesihatan rakyat serta kelestarian alam sekitar. Namun, beliau menolak sikap cuai dan tamak segelintir pihak yang menganggap hukuman sedia ada sebagai sekadar kos operasi.
“Johor akan kekal sebagai negeri mesra pelabur, tetapi pelaburan mesti disokong oleh pemantauan moden, pematuhan ketat dan prinsip kelestarian yang jelas. Ini pendirian pro-rakyat dan pro-masa depan,” katanya.
Sehubungan itu, Pejuang Johor mengemukakan beberapa cadangan utama, termasuk kewajipan pemasangan sensor kualiti air automatik di semua kilang berisiko tinggi dengan data masa nyata yang boleh diakses oleh JAS dan orang awam bagi menjamin ketelusan.
Selain itu, beliau turut menggesa kawasan tadahan dan sumber air mentah Sungai Johor diwartakan segera sebagai zon perlindungan khas, selain mewajibkan semua kilang di lembangan Sungai Johor menyumbang kepada Tabung Pemulihan Sungai Johor sebagai syarat operasi.
Pejuang Johor menegaskan hanya melalui perubahan menyeluruh dan pendekatan pencegahan yang tegas, Sungai Johor dapat dipelihara sebagai nadi kehidupan komuniti dan asas kepada pembangunan ekonomi yang benar-benar lestari. – malayadaily