
JOHOR BAHRU, 1 DIS 25 — Ketua Penerangan Pejuang Negeri Johor Suraya Sulaiman menggesa kerajaan negeri merangka garis panduan baharu yang lebih tegas dan komprehensif bagi menangani kebanjiran peniaga warga asing yang kini didakwa semakin menguasai perniagaan runcit di seluruh negeri sehingga menekan peniaga tempatan.
Gesaan itu dibuat susulan penjelasan Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, YB Mohd Jafni Shukor, pada Sidang DUN baru-baru ini yang mendedahkan kegiatan warga asing berniaga menggunakan lesen Bumiputera semakin berleluasa dan melanggar undang-undang.
Pejuang Johor menyifatkan situasi itu bukan sahaja menjejaskan pendapatan peniaga runcit tempatan di kampung, FELDA serta kawasan bandar, bahkan menyebabkan sebahagian mereka terpaksa menutup premis akibat persaingan tidak seimbang.
Menurut Suraya, kegiatan penyalahgunaan lesen oleh pihak tertentu membolehkan warga asing menguasai sepenuhnya operasi perniagaan, termasuk jualan barangan asas pada harga jauh lebih rendah berbanding peniaga tempatan.
“Banyak kedai runcit kampung terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu melawan harga murah yang ditawarkan peniaga warga asing. Isu ini sudah lama dibangkitkan tetapi penyelesaiannya belum menyeluruh,” katanya.
Sehubungan itu, Pejuang Johor menggariskan empat cadangan utama kepada kerajaan negeri:
- Mengaktifkan semula pemeriksaan lesen perniagaan secara berkala di semua daerah.
- Menguatkuasakan garis panduan ketat melarang penyalahgunaan lesen Bumiputera oleh warga asing.
- Mengambil tindakan tegas termasuk pembatalan lesen dan penalti berat terhadap pemilik yang bersekongkol.
- Melaksanakan operasi bersepadu PBT–polis–imigresen bagi membanteras perniagaan tanpa permit sah.
Pejuang Johor menegaskan isu ini bukan sekadar soal persaingan ekonomi, tetapi berkait rapat dengan masa depan peniaga kecil yang merupakan tunjang ekonomi masyarakat negeri itu.
Kerajaan negeri digesa bertindak segera sebelum keadaan menjadi lebih serius dan menghakis peluang ekonomi rakyat tempatan. – malayadaily.com