TERKINI

Pemimpin Pembangkang dan Kerajaan Kecam Insiden Abang Belon

Dari kiri, hamzah Zainudin, Muhyiddin yassin, Akmal Salleh dan Muhammad Kamil Abd. Munim

KUALA LUMPUR, 29 Mac 25 – Pelbagai pihak mengecam tindakan pihak penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dirakam telah bergelut dengan seorang peniaga seperti yang tular di media sosial hari ini.

Beberapa pemimpin kerajaan dan pembangkang turut menzahirkan kekecewaan berkaitan insiden tersebut.

Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan meminta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar lebih prihatin, peka dan berhemah.

“Cubalah cari jalan untuk memudahkan peniaga-peniaga kecil mencari rezeki di musim-musim perayaan tertentu.

“Lesen-lesen sementara boleh dikeluarkan untuk membolehkan mereka berniaga di tempat-tempat tertentu untuk suatu tempoh yang terhad. Ujarnya.

Manakala Ketua Pembangkang, Dato Seri Hamzah Zainudin pula dalam statusnya menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak mencerminkan nilai dan budi pekerti bangsa yang penuh bertimbang rasa, bangsa yang penuh dengan kesabaran.

“Selepas melihat video ini, saya tertanya-tanya.. Apakah ini yang ingin kita tampilkan? Dimanakah nilai budi bangsaku? Soalnya.

Pemimpin dari blok kerajaan turut mengecam insiden tersebut, Ketua Pemuda UMNO Dr Akmal Salleh dalam kenyataannya menuntut keadilan bagi ‘abang jual belon’ yang didakwa dilakukan seperti binatang oleh sekumpulan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Jalan Tunku Abdul Rahman malam tadi.

Sementara itu, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim turut mengecam insiden yang sama.

Menerusi video yang tular, kekecohan mula berlaku selepas DBKL mengambil tindakan merampas barang jualan daripada beberapa individu yang dikatakan berniaga tanpa lesen, termasuk penjual belon berkenaan.

Dalam insiden tersebut, penjual terbabit dikatakan enggan menyerahkan belon yang dibawanya sehingga mencetuskan pergelutan dengan kumpulan pengutkuasa DBKL. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp