PETALING JAYA, 25 Dis 2023 – Perdana Menteri Anwar Ibrahim diminta menasihatkan pemimpin DAP agar berhenti membangkitkan isu berkait Melayu dan Islam, jika mahu lihat Umno dapat semula sokongan akar umbi.
Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh berkata usaha ‘memujuk’ akar umbi akan sukar jika DAP tidak berubah.
“Umno boleh bekerjasama dengan siapa sahaja tetapi kita ada pendirian menjaga kepentingan agama Islam, orang Melayu, dan juga raja-raja Melayu.
“Saya minta PMX (Anwar Ibrahim) menasihatkan pemimpin DAP supaya jangan main dengan sensitiviti orang Melayu.
“Sebelum nak minta Umno terima, DAP juga kena berubah dulu,” katanya memetik laporan FMT.
Kelmarin, Anwar menasihati Umno untuk kerap turun padang bertemu ahli akar umbi dan rakyat untuk beri penjelasan berkenaan beberapa isu yang membelenggu parti itu, terutama mengenai hubungan dengan DAP.
Beliau yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata perkara itu perlu dilakukan jika Umno mahu pulihkan sokongan yang kelihatan merosot.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata terdapat keperluan untuk Umno menerangkan kepada akar umbi tentang impak positif kerjasama dengan PH.
Beliau menegaskan Umno tidak pernah terpesong dari perjuangan asal, seperti yang ditunjukkan dalam setahun bersama kerajaan perpaduan.
“Kita kena bagi juga ceramah atau penerangan kepada akar umbi dan orang Melayu bahawa selama setahun kita menunjukkan hasil Melayu-Islam itu lebih tinggi martabat… nak dibandingkan dengan ketika Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.
“Dalam waktu Perikatan Nasional (PN) menuduh Islam dan Melayu terancam, kita meningkatkan peruntukan sebanyak RM1.9 bilion bagi pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam.
“Kita buat bersama kerajaan perpaduan di dalamnya ada DAP, PKR, Amanah dan GPS… mereka bersama-sama menyokong perkara yang kita buat ke arah memartabatkan Islam,” katanya. – FMT