TERKINI

Pendakwaan MB Kedah : PAS Minta Ahli Dan Penyokong Bertenang

Foto malaysiagezette

KUALA LUMPUR, 18 Julai 2023 – Ahli-ahli dan penyokong Pas diminta untuk bertenang dan menghormati proses undang-undang susulan penahanan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, awal pagi tadi.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pagi ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti mengikuti dengan cermat perkembangan yang melibatkan penahanan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu.

“Pas mengikuti dengan cermat perkembangan kes melibatkan Muhammad Sanusi yang dilaporkan telah ditahan oleh pihak PDRM untuk didakwa di mahkamah hari ini.

“Pas menyarankan semua pihak, khususnya para ahli dan penyokong, supaya bertenang dan menghormati proses perundangan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.

Terdahulu, media melaporkan polis telah menahan Muhammad Sanusi untuk menghadapi pertuduhan di mahkamah mengikut Akta Hasutan.

Penahanan dibuat pada sekitar pukul 3 pagi oleh pasukan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5 dan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di Mont Kiara.

Menteri Besar Kedah itu akan didakwa di mahkamah Selayang pada jam 9 pagi ini.

Muhammad Sanusi dijangka menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 [Akta 15].

Sanusi ditahan polis 3 pagi

Sebelum ini, pemimpin Pas itu dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor.

Susulan daripada itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk yang menyifatkan ucapan tersebut telah menghina institusi beraja di Selangor. – malayadaily.com

Facebook
Twitter
WhatsApp